USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ABDULLAH NUDIN DINOBAT PEMENANG ANUGERAH KEPIMPINAN PENGUCAPAN AWAM (INDIVIDU) DI MAJLIS ANUGERAH TOKOH SISWA KEBANGSAAN 2022

PUTRAJAYA, 20 Mac 2023 – Bersempena dengan Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Abdullah Nudin, pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIK) telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam (individu).

336738171 551781637047527 401198203909458198 n

Abdullah Nudin yang juga merupakan pelajar jurusan Sastera dengan Pendidikan (Geografi) USM telah terpilih sebagai penerima anugerah ini hasil daripada pencapaian peribadi dan kepimpinannya sebagai Yang di-Pertua Kelab Debat dan Pengucapan Awam (KDPA) USM pada sesi Sidang Akademik 2020/2021.

Dua projek pertaruhan beliau untuk penilaian anugerah kali ini adalah:

  • Pertandingan Pidato HEBAT Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM Peringkat Kebangsaan Tahun 2021
  • Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi (DeSTI) 3.0 Piala Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021

Pencapaian peribadi beliau juga telah memberikan beliau merit untuk menjadi finalis termasuk kejayaan Johan Pertandingan Pengucapan Awam Piala Tun Mustapha Antara IPT Peringkat Antarabangsa 2021; Suku Akhir Pertandingan Debat Diraja Antara IPT 2021 dan Suku Akhir Pertandingan Debat Piala Perpaduan Negara Antara IPT 2021.

Beliau juga merupakan pemenang Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan Debat Alam Sekitar Antara IPT tahun 2022 dan Anugerah Delegasi Terbaik di 2023 ASEAN Youth Community for Household Hazardous Waste Symposium anjuran ASEAN Young Climate Leaders Programme.

Untuk Anugerah terkini ini, Abdullah telah melalui satu sesi temuduga penilaian di Putrajaya pada Disember 2022 yang lepas bersama dengan dua lagi finalis lain daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Disember lepas, saya telah dinilai dalam satu temuduga berkumpulan bersama sekurang-kurangnya 11 calon yang lain dari pelbagai kategori dan kemudiannya sesi temuduga secara individu,” katanya.

Tambah Abdullah, kejayaan beliau kali ini merupakan kejayaan pertama kelab debat universiti atau KDPA USM sejak ditubuhkan pada tahun 2000.

Tiada ungkapan lagi bermakna selain daripada terima kasih buat semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung terhadap kejayaan ini.

Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Abdullah Nudin di atas pencapaian terkininya ini.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi 

  • Created on .
  • Hits: 816

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024