USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUASAI BAHASA INGGERIS DAN PERKUAT JATI DIRI BAKAL MAHASISWA INTIPATI PROGRAM 'GEAR UP!' USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Mac 2023 – Bagi meningkatkan nilai kepimpinan dan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai persediaan ke alam pengajian tinggi dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) menganjurkan Program ‘Gear UP!’ 2023 (Get Ready for University Programme) di Kampus Kesihatan USM.

IMG 20230319 WA0011

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat dalam ucapan sempena majlis perasmian penutupan program ini berkata, Program ‘Gear Up!’ 2023 juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal mahasiswa mengenai kehidupan sebagai pelajar universiti atau institusi pendidikan yang bakal dilalui selepas tamat persekolahan. 

“Saya percaya program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 17 Mac lalu dan berakhir hari ini menjadi platform untuk para pelajar memulakan lakaran perjalanan baharu bagi mencipta kecemerlangan untuk menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang terbaik, bukan hanya dalam akademik tetapi juga sahsiah diri dan minda yang hebat pada masa hadapan.

IMG 20230319 WA0008

“Sahutlah cabaran dalam era pembelajaran pada masa kini dengan semangat juang, tidak mudah mengalah, penuh kesabaran, ketabahan dan kecekalan serta sentiasa berfikiran terbuka,” katanya.

Tambah Narimah, di Malaysia hanya tiga (3) Universiti Awam (UA) yang dilantik untuk menganjurkan program ini iaitu USM di Semenanjung Malaysia sebagai wakil tunggal di negeri Kelantan dan Pulau Pinang, Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan universiti swasta bagi negeri-negeri lain.

“Bagi pelajar yang ingin masuk ke USM, kami menyediakan Program Pra-Universiti dengan tajaan penuh daripada MARA dan program ini merupakan satu laluan untuk kesinambungan pengajian peringkat ijazah pertama dan seterusnya peringkat ijazah tinggi.

“Program Pra-Universiti USM ini telah disediakan antara lain bertujuan untuk melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing serta mampu mengisi kekosongan pasaran kerja dan bukan hanya pencapaian akademik yang dititikberatkan tetapi juga kemahiran lain termasuk kemahiran insaniah atau ‘soft skill’,” ujarnya lagi.

Program ‘Gear Up!’ ini disertai oleh seramai 110 orang pelajar dari seluruh negeri Kelantan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Razlan Haji Samsuri; Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Siti Aminah Abdul Kadir; Pengarah MARA Negeri Kelantan, Fazli Rizal Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Induk USM, Haji Ramli Osman; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad; Ketua Fasilitator Program ‘Gear Up!’ 2023 merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah dan Pengetua-pengetua MRSM seluruh Kelantan. 

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 435

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024