USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI PPIP USM KEMBALI BANTU TINGKATKAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN PELAJAR PRA-U

USM PULAU PINANG, 22 Mac 2023 – Kembalinya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Terengganu, Dato’ Seri Dr. Hj. Ahmad Razif Abd Rahman yang juga merupakan alumni Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk berbakti kepada komuniti melalui penglibatan Pusat Pengajian adalah sesuatu usaha yang patut dicontohi dan wajar diberi pujian.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.39.24

Beliau bekerjasama dengan PPIP USM menganjurkan program Meniti Puncak bersama SMK Ibrahim Fikri, Kuala Nerus, Terengganu iaitu sebuah program yang memberi manfaat kepada komuniti terutamanya dalam bidang Pendidikan.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula pada 6 Mac hingga 8 Mac 2023, melibatkan 118 pelajar Pra-U (Tingkatan Enam) sekolah tersebut dengan tema ‘Menyerlah Potensi, Membina Masa Depan’.

Objektif utama program adalah untuk memberi pengalaman dan pendedahan sebenar kepada para pelajar akan gaya hidup di kampus universiti, iaitu dengan membawa para pelajar melihat prasarana di sekitar USM seperti Dewan Kuliah, Perpustakaan dan kemudahan lain, dengan harapan untuk meningkatkan motivasi mereka untuk menjadi mahasiswa IPT kelak.

Hadir bagi merasmikan majlis penutup program tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.38.01 2

Azlinda dalam ucapan penutupnya berkata, para pelajar seharusnya memanfaatkan dengan sebaiknya peluang yang diberi ini kerana pengetahuan, kemahiran dan pendedahan dalam setiap aktiviti yang diadakan bukan mudah untuk diperoleh di mana-mana.

“Uniknya di USM, para pelajar juga berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti dan persatuan/kelab yang mana peluang ini terbuka luas kepada mahasiswa di USM.

“Pelbagai latihan disediakan untuk memberi kemahiran tambahan ataupun ‘training ground’ kepada pelajar, yang mana salah satunya ialah kemahiran keusahawanan yang mendedahkan para pelajar kepada aktiviti perniagaan,” katanya.

Tambah Azlinda, harapannya adalah untuk melibatkan mahasiswa USM yang sedia ada sebagai mentor dalam program yang akan datang dan para peserta dapat mengambil manfaat daripada peluang ini dengan berinteraksi bersama fasilitator, mahasiswa USM dan para pensyarah sebagai langkah penting untuk memotivasikan diri menjadi seorang graduan satu hari nanti.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam perkongsiannya bersama para pelajar Pra-U berkata, sebagai alumni Ijazah Kedoktoran (Kaunseling) di PPIP, beliau akan memastikan para pelajar Pra-U yang terlibat dalam program itu berjaya menjejak kaki ke Universiti.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.38.01

“Saya akan memastikan setiap pelajar yang keluar sebagai graduan USM telah mempraktikkan modul pintas yang telah saya laksanakan bagi membantu masalah pelajar yang ‘under achieved’, dengan memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan yang terbaik,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan beliau kepada USM, beliau turut menyeru alumni supaya kembali ke USM untuk bersama-sama kepimpinan universiti membangunkan mahasiswa agar graduan yang bakal dilahirkan berupaya membawa nama baik USM ke persada antarabangsa.

Menurut penyelaras program pula, Dr. Syed Mohamed Syed Abdullah dalam ucapannya berkata, ilmu merupakan asas kejayaan individu untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan PPIP USM telah menyediakan peluang ini dengan membekalkan pengalaman dan kehidupan yang bermakna buat para pelajar yang telah mengikuti program ini.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.38.01 1

Majlis diserikan lagi dengan Penyampaian Anugerah Cemerlang kepada Ahmad Razif kerana telah menamatkan pembelajarannya di PPIP USM pada tahun 2021 yang lalu.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.43.02

Turut diselitkan dalam majlis yang sama ialah Penandatanganan Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) di antara PPIP USM bersama Ahmad Razif dan Pusat Tingkatan Enam SMK Ibrahim Fikri, Kuala Nerus.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.38.01 3

Hadir sama pada majlis adalah Dekan PPIP USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman; Pengetua Cemerlang SMK Ibrahim Fikri, Zainon Awang dan pegawai-pegawai utama USM.

Program Meniti Puncak adalah kesinambungan kepada Projek Sebuah Rumah Seorang Graduan dengan kepakaran PPIP USM dan bantuan Ahmad Razif, yang mana ianya selari dengan objektif utama program iaitu melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan dalam sebuah rumah (keluarga) seterusnya memenuhi harapan kedua ibu bapa dan keluarga untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan.

WhatsApp Image 2023 03 25 at 11.38.01 4

Dengan berbekalkan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, diharapkan pelajar dapat membantu diri sendiri serta keluarga untuk mencapai tahap kesejahteraan kehidupan yang lebih baik.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 503

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024