NC SERU “PASUKAN USM” PACU KECEMERLANGAN USM
USM PULAU PINANG, 22 Mac 2022 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini memulakan Majlis Perutusan Naib Canselor 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Kampus Induk USM.
Bertajuk ‘Bersama Memacu Kecemerlangan USM’, majlis ini dihadiri lebih 1,000 orang warga USM dari pelbagai latar belakang yang terdiri daripada Staf akademik, pentadbiran, pelajar dan para alumninya serta pemegangtaruh terdekat.
Menurut Abdul Rahman, amanah yang beliau terima adalah untuk merealisasikan inisiatif Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) dan Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok dalam satu pasukan yang terdiri daripada semua warganya dalam sebuah Pasukan USM.
“Secara peribadi “kejayaan adalah satu perjalanan bukan satu destinasi” kerana selepas kita sampai di destinasi itu, kita akan menuju ke destinasi lain pula. Maka, proses adalah lebih penting daripada hasilnya,” katanya.
Abdul Rahman turut menekankan bahawa agenda utama USM ialah memperkasakan Agenda APEX dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji Agenda APEX.
Ini merupakan majlis perutusan pertama Abdul Rahman yang baru memegang jawatan Naib Canselor USM bermula Januari yang lalu.
Majlis Perutusan ini akan diteruskan ke Kampus Kejuruteraan pada 23 Mac 2023 dan diakhiri di lokasi terakhir di Kampus Kesihatan pada 28 Mac 2023.
Yang turut hadir ke majlis ini adalah mantan Naib Canselor kelapan USM, Prof. Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Dekan-dekan; Pengarah-pengarah; Ketua-ketua Jabatan; dan Kepimpinan Persatuan dan Pertubuhan Staf dan Pelajar.
Teks dan Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 806