USM, JWN TEROKA KERJASAMA STRATEGIK DALAM KELESTARIAN WARISAN NEGARA
PUTRAJAYA, 16 Mac 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus meneroka kerjasama dalam pelbagai sektor melalui perkongsian kepakaran apabila kali ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Warisan Negara (JWN).
Kerjasama USM-JWN yang berfokuskan rentas bidang penyelidikan dan pendidikan ini sekaligus dapat merealisasikan pencapaian agenda kerajaan dengan memastikan warisan-warisan yang berharga di negara ini pada tahun mendatang dapat bergerak dengan sistematik dan teratur.
Kolaborasi ini juga dilihat dapat mengaplikasikan peraturan berlandaskan prinsip-prinsip dan prosedur di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Bercakap di majlis penandatanganan tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), komited dalam melaksanakan fungsinya untuk terus memelihara dan melindungi warisan kebudayaan melalui penyelidikan, dokumentasi, penguatkuasaan dan menggalakkan kesedaran terhadap warisan.
"MOTAC sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam sebarang kolaborasi secara strategik dengan mana-mana pihak apatah lagi bersama universiti dengan kepakaran yang dimiliki dalam usaha memartabatkan warisan, agar tanggungjawab itu tidak hanya terletak di bahu satu pihak sahaja," ucap beliau ketika hadir mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menyaksikan termeterainya MoU antara Jabatan Warisan Negara dan 13 buah universiti awam Malaysia.
Tambah beliau lagi, MoU ini bukan sahaja boleh membentuk kerjasama dalam aktiviti penyelidikan, penganjuran seminar, bengkel dan penerbitan secara bersama, malahan juga dapat memberi peluang kepada Jabatan Warisan Negara menghulurkan bantuan kepakaran dalam pembangunan program-program di universiti yang mempunyai potensi pekerjaan di masa akan datang.
"Pada masa yang sama, pihak IPTA akan dapat menyumbang kepakaran dari sudut akademik untuk pengembangan program-program warisan di Jabatan Warisan Negara," jelas Khairul Firdaus lagi.
Pada majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi USM, Profesor Dr. Azlan Amran mewakili Naib Canselor USM berkata, bagi pihak USM, kita sentiasa bersedia membantu menyumbang kepakaran yang dimiliki untuk memartabatkan kelestarian warisan di negara ini.
"Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), USM di bawah kepimpinan Profesor Dr. Stephen Chia sudah pasti dapat menyumbang kepakaran dari sudut akademik dan penyelidikan untuk pengembangan program-program warisan yang akan direncana oleh JWN," kata Azlan di majlis tersebut.
Jelas beliau, melalui kolaborasi ini, USM dapat membangunkan pelbagai idea kreatif dan inovatif bersama JWN dengan mengoptimumkan penggunaan sumber masing-masing.
Antara lain, Azlan berkata USM akan bertindak bersama IPTA-IPTA terlibat dan JWN bagi mengadakan persidangan antarabangsa, seminar, symposium, kursus pendek dan bengkel tentang penyelidikan yang dijalankan bersama.
"Kita juga akan bekerjasama dari sudut penerbitan, berkongsi kepakaran kakitangan dari sudut penyelidikan, latihan dan pengurusan penyelidikan dalam mengembangkan ilmu berkaitan dengan sejarah, budaya dan alam semula jadi serta sains dan teknologi," kata beliau.
Selain USM, 12 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) turut sama menurunkan tandatangan bagi menyokong usaha Jabatan Warisan Negara dalam melestarikan warisan negara dan memastikan ia berada pada landasan yang tepat seperti disasarkan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 714