USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM NAIB JOHAN DEBAT TENAGA IPT 2022

USM PULAU PINANG, 15 Mac 2023 – Bersempena dengan Youth Energy Summit 2022, Pasukan Debat Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencapai kejayaan yang membanggakan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Debat Tenaga Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT), pada Disember tahun lalu (2022) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan kerjasama Kelab Debat UNITEN.

WhatsApp Image 2023 03 07 at 12.39.08 1

Wakil pendebat USM yang menyertai pertandingan tersebut adalah:

  1. Siti Nur Salsabiela Ahmad Shukri (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan)
  2. Muhammad Amirul Hakim Ahmad Roziman (Pusat Pengajian Sains Kimia)
  3. Muhamad Hafizi Mohd Hanafi (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)
  4. Mohamad Firdaus Kasah Hamid@Kasmidy (Pusat Pengajian Sains Komputer)

Bertemakan isu tenaga, pertandingan yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan menyebarkan kesedaran mengenai isu tenaga dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia itu disertai oleh 12 pasukan IPT dari seluruh Malaysia.

Pusingan akhir mempertemukan pasukan USM dengan Universiti Malaya (UM) dengan usul ‘Sasaran Karbon Sifar Bersih 2050: Tenaga Boleh Diperbaharui Adalah Jawapannya’.

WhatsApp Image 2023 03 07 at 12.39.08

Menurut Muhamad Hafizi yang merupakan ketua pasukan USM, pertandingan itu agak mencabar kerana melibatkan isu sains iaitu tenaga dan memerlukan penelitian yang rapi untuk memahami sesuatu usul.

“Sungguhpun begitu, semangat berpasukan yang ditunjukkan telah membantu kami semua untuk mengupas setiap isu dengan teliti dan bernas sekaligus menunjukkan betapa pentingnya isu tenaga,” katanya.

Selain menjadi Naib Juara pasukan USM, Muhamad Hafizi juga berjaya dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dan Pendebat Ketiga Terbaik Keseluruhan.

Pusingan kelayakan Pertandingan Debat Tenaga Antara IPT ini berlangsung secara dalam talian pada 25 November hingga 27 November 2022, manakala pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir telah diadakan secara fizikal bertempat di UNITEN Bangi pada 2 Disember hingga 4 Disember yang lalu.

Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Debat USM di atas kejayaan yang membanggakan dan mengharumkan nama universiti ini.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi 

  • Created on .
  • Hits: 627

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024