USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA HUBUNGAN PENYELIDIKAN DENGAN UNIVERSITÉ DE LORRAINE PERANCIS

 

perancis1

PARIS, PERANCIS, 14 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkasakan lagi hubungan dengan Université de Lorraine (UL) Perancis melalui 6th USMUL Colloquium 2023 yang diadakan hari ini.

Kira-kira 40 orang penyelidik dan ahli akademik menghadiri kolokium yang melibatkan  pembentangan dari USM dan UL termasuk  pembentangan pitching bagi permohonan geran padanan USM-UL.

Antara bidang baharu yang diterokai bersama adalah Sains Sukan, Artificial Intelligence (AI), Pendidikan, Literasi dan Fizik Perubatan.

perancis3

Yang hadir dalam majlis ini ialah Presiden UL, Professor Dr. Helene Boulanger; Naib Presiden Jaringan Eropah dan Antarabangsa UL, Profesor Dr. Karl Tombre; dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Nathalie Fick.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM, Profesor Madya Dr. Mohd Hazwan Hussin.

Dalam ucapan pembukaan, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kolokium ini adalah petanda kukuhnya hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 20 tahun lalu itu.

"Hari ini, dua institusi pendidikan tinggi yang berjarak lebih 10,000 km ini bertemu untuk berkongsi keunikan, kekuatan dan sumbangan ahli akademia masing-masing melalui satu platform untuk para sarjana dan penyelidik berkongsi idea, dapatan dan ilmu pengetahuan," kata Abdul Rahman.

perancis4

Tambahnya lagi, ini membolehkan kedua-dua pihak menyediakan ruang untuk belajar mengenai satu sama lain serta bersama-sama meluaskan lagi hubungan dan persefahaman secara kolektif dalam sains, teknologi dan kemanusiaan.  

 perancis2

Hubungan USM-UL telah berjaya menghasilkan 11 orang siswazah kedoktoran; 5 kejayaan geran PHC dan MATCH antara 2019-2021; kepelbagaian aktiviti mobiliti; lebih 70 penerbitan bersama dan pelantikan profesor kunjungan.

"Kita baru saja lancarkan Geran Padanan USM-UL 2023, yang bertujuan mengukuhkan kolaborasi antara disiplin untuk menggalakkan perkongsian ilmu dan sumber di antara kedua-dua universiti," kata beliau lagi.

perancis5

Tegas Abdul Rahman, hal ini menunjukkan komitmen tinggi antara kedua-dua pihak untuk membolehkan pelajar dan pusat pengajian bekerja bersama untuk menghasilkan “cutting-edge research" dan memberi perspektif dan dapatan baharu antara satu sama lain.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 560

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024