USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUNGGUK JELAPANG KUAT MAKAN TIKUS, JADI ALTERNATIF KEPADA PEKEBUN URUS LADANG SAWIT

BANDAR BAHARU, 14 Mac 2023 – Burung pungguk jelapang terbukti secara meluas sebagai agen berkesan dalam kawalan biologi terhadap tikus perosak di ladang kelapa sawit, khasnya di negara ini.

WhatsApp Image 2023 03 15 at 08.51.19

Berdasarkan kajian penyelidik, tikus boleh merangkumi sehingga 99 peratus diet burung pungguk jelapang, dan sepasang burung pungguk dan anak-anaknya boleh memakan kira-kira 1,300 tikus setahun.

Sehubungan dengan itu, ia dilihat sebagai salah satu kaedah hijau yang dapat menggalakkan penggunaan burung pungguk jelapang oleh pekebun kecil kelapa sawit dalam menguruskan haiwan perosak itu di ladang mereka.

Bukan sekadar lestari, kaedah itu dapat mengurangkan penggunaan racun perosak yang menyebabkan kesan buruk kepada alam sekitar, dan mengelak daripada berlaku lebih banyak kemudaratan kepada hidupan lain yang memakan tikus yang telah diracun.

WhatsApp Image 2023 03 15 at 08.51.19 1

Menyedari keunikan dalam ekosistem yang ada, Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) melancarkan Barn Owl for Oil Palm Smallholders Initiatives (BOSI).

BOSI adalah projek khas yang menyaksikan penyerahan dan pemasangan 20 kotak sarang burung pungguk jelapang yang dikenali dengan nama saintifiknya, Tyto javanica javanica kepada para pekebun kecil di Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah.

Penyelaras BORG yang juga pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM, Profesor Madya Dr. Hasber Salim berkata, program BOSI berupaya membantu pekebun kecil mengawal dan mengurangkan populasi tikus perosak dengan berkesan.

WhatsApp Image 2023 03 15 at 08.51.20

“Kotak yang dibekalkan telah direka bentuk dengan matlamat untuk menarik burung pungguk jelapang sebagai tapak sarang yang selamat dan sesuai untuk pembiakan. Pekebun juga ditunjukkan dengan demonstrasi pemasangan yang betul.

“Ia turut merangkumi penggunaan teknik pemetaan GPS bagi memastikan kotak sarang burung diagihkan secara sama rata pada ketumpatan satu kotak bagi setiap lima hektar di kawasan tersebut,” ujarnya.

Tambah Hasber, sepanjang tempoh projek itu dijalankan, pasukan penyelidik akan memantau rapi kadar penghunian burung pungguk jelapang dalam kotak sarang yang dipasang, melihat prestasi pembiakan serta memantau kepadatan populasi tikus di kawasan itu.

Beliau turut berkata, BORG teruja dapat bekerjasama dengan MPOGCF yang disifatkan bukan sekadar berkongsi objektif yang sama dalam memulihara biodiversiti, malah turut membiayai dan memberi sokongan penuh untuk memastikan projek itu berjalan lancar dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam pada itu, Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad pula berkata, pihaknya komited dalam menyokong usaha pemuliharaan dan kelestarian khususnya yang berkaitan dengan industri kelapa sawit.

WhatsApp Image 2023 03 15 at 08.51.17 2

Beliau turut menzahirkan keyakinan dengan output melalui pelaksanaan BOSI dalam meningkatkan kesedaran kepada pekebun kecil mengenai keberkesanan menggunakan pungguk jelapang sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah haiwan perosak itu.

WhatsApp Image 2023 03 15 at 08.51.17 1

Majlis yang turut memuatkan sesi penyampaian sijil kepada para peserta itu turut dihadiri Penasihat BORG, Profesor Dr. Abu Hassan Ahmad; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPSK USM, Profesor Madya Dr. Yahya Mat Arip; pegawai-pegawai utama MPOGCF dan para penyelidik USM.

WhatsApp Image 2023 03 15 at 08.51.20 1

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 863

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024