ILMU DAN PENGALAMAN PENTING DALAM MENYELAMAT
USM PULAU PINANG, 14 Mac 2023 – Untuk membentuk keyakinan diri dalam melakukan sesuatu, seseorang itu perlu ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam menghadapinya.
Demikian kata Ketua Cawangan Pengurusan Bomba Sukarela dan PBB Bahagian Operasi, JBPM Selangor, Tuan Juyana@Azlan bin Musa dalam forum Wira Tidak Didendang Batang Kali dan Turkiye yang berlangsung hari ini anjuran Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre.
Juyana yang mempunyai pengalaman lebih 28 tahun dalam pasukan Bomba dan Penyelamat menjelaskan, seseorang itu perlu berilmu dengan membuat penilaian berasaskan fakta dan mencari maklumat setempat untuk membantu.
"Pengalaman banyak memberi pengajaran tentang peristiwa yang berlaku sebelum ini sebagai rujukan dalam membantu mengesan kedudukan mangsa," katanya lagi.
Beliau adalah antara anggota SARS Malaysia yang terlibat membantu mangsa gempa bumi di Turkiye baru-baru ini di samping menghadapi banyak kes dalam negara termasuk tragedi Batang Kali.
"Kerana itu saya sentiasa menasihatkan sesiapa sahaja termasuk keluarga untuk sentiasa berhati-hati termasuk keselamatan di rumah terutama dalam hal-hal yang dianggap remeh dan mudah seperti paip gas memasak dan mengecaj telefon bimbit.
"Seseorang itu juga perlu ilmu untuk membantu orang lain di sebalik keghairahan dan keprihatinan untuk berbuat demikian ketika berlaku sesuatu bencana," tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi, JBPM Selangor, Tuan Mustakim bin Rimon pula menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan risiko bencana.
"Saya nasihatkan untuk mereka yang ingin pergi aktiviti luar seperti perkhemahan, sentiasa mempunyai wisel yang boleh digunakan jika berlaku kecemasan.
"Seseorang itu juga perlu membuat kajian tentang tempat yang akan dikunjungi dengan melihat sejarah dan kemungkinan pernah berlaku bencana," kata Mustakim.
Tambah beliau lagi, adalah lebih elok dan wajar untuk mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti luar seperti perkhemahan pada musim hujan dan cuaca yang tidak menentu.
Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman luas dalam menghadapi kes bencana seperti kebakaran, tanah runtuh dan mangsa lemas terutamanya di dalam negara.
Moderator forum ini ialah Pelajar Tahun 2 Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Ku Nur Wafa Ain binti Ku Amran.
Antara yang hadir ke majlis ini ialah Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman; Pengarah Penerbit, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Madya Dr. Paramjit Singh a/l Jamir Singh; dan Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Normala Abdul Wahid.
Teks & Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 813