PROGRAM PENSIJILAN PROFESIONAL USM TINGKATKAN KUALITI KERJA LINE LEADER DAN OPERATOR PENGELUARAN
USM PULAU PINANG, 13 Mac 2023 – Penganjuran program Sijil Profesional serta Sijil Lanjutan Profesional Dalam Pengoperasian Gunaan dan Pengurusan disifatkan sebagai satu inisiatif yang dapat meningkatkan kualiti kerja individu dan membudayakan kerjasama berpasukan.
Program yang dibangunkan oleh Universiti Sains Malaysa (USM) melalui Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) itu direka khas buat para line leader dan operator pengeluaran syarikat teknologi perubatan terkemuka dunia, B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. (BMI).
Program berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan apabila hampir 40 peserta dalam kalangan line leader dan operator pengeluaran BMI mendapat manfaat khususnya meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang tugas masing-masing.
Salah seorang peserta, Noor Mastika Aziz berkata, beliau terharu kerana dapat mengikuti kursus berkenaan dan berazam untuk mengaplikasikan segala ilmu yang diperoleh dalam meningkatkan kualiti kerjanya.
“Sebagai seorang line leader, saya perlu sentiasa bersedia untuk beradaptasi dengan perubahan dan menjadi kemestian untuk belajar secara berterusan,” katanya.
Pendapat beliau turut disokong rakan sejawatnya, Irene Thangarasu. Irene menyifatkan beliau perlu meningkatkan tahap penguasaan dalam menjalankan bidang tugas dan berterima kasih atas peluang yang diberikan majikannya untuk menyertai program berkenaan.
Operator Pengeluaran, Shamsul Kamarudin pula berkata, beliau tidak menyangka masih dapat mengikuti peluang keemasan menimba ilmu untuk meningkatkan pengetahuan, apatah lagi ia dilaksanakan bersama universiti terkemuka negara.
Pendapat yang sama turut disuarakan Saidah Ahmad, yang juga terharu kerana mendapat ilmu yang membolehkannya mengembangkan ilmu untuk dmanfaatkan dalam bidang tugasnya sebagai operator pengeluaran.
“Dengan adanya kursus seumpama ini, kami dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh secara lebih berkesan dalam operasi harian di tempat kerja,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Pengurus Program Pembangunan Eksekutif GSB USM, Dr. Karpal Singh berkata, program berkenaan bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan pengetahuan asas, kemahiran teknikal, operasi dan pengurusan asas untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.
Tambah beliau, para peserta diyakini akan dapat menguasai pelbagai output yang dibangunkan khususnya dalam mengaplikasi prinsip, konsep dan amalan pengurusan asas untuk pengurusan diri dan tugas yang berkesan.
“Mereka juga diharap dapat mengaplikasi kemahiran teknikal dan operasi asas dengan berkesan dalam menyokong objektif operasi seharian, berkomunikasi dengan pihak berkepentingan dengan keyakinan tinggi dan berupaya bekerja dalam kumpulan secara efektif,” ujar beliau lanjut.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 516