USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RRM KERJASAMA STRATEGIK USM DAN KORPORAT UNTUK MANFAAT KELUARGA PESAKIT KANAK-KANAK B40

WhatsApp Image 2023 03 14 at 9.26.44 AM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Mac 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sempat meninjau Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital USM dalam rangka lawatan kerja ke Kampus Kesihatan, semalam.

Selain meninjau operasi RRM, Abdul Rahman turut meluangkan masa menyantuni dan makan tengah hari bersama keluarga pesakit yang sedang menginap di situ sementara menunggu anak-anak mereka menjalani rawatan di Hospital USM.

Rumah kebajikan khas untuk keluarga pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di Hospital USM ini menyediakan 18 buah bilik penginapan kondusif yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk para penghuni. Antaranya ialah ruang rehat, ruang makan, dapur lengkap dengan segala kemudahan memasak, bilik permainan, mesin basuh serta lain-lain.

Kerjasama strategik antara USM dan 'Ronald McDonald House Charities' (RMHC) Malaysia ini ternyata memberi impak yang sangat signifikan.

Kos pembinaan yang ditanggung sepenuhnya oleh RMHC dan kos operasi dikongsi bersama antara kedua-dua pihak ternyata memberi kelegaan kepada keluarga pesakit, khususnya golongan B40.

Sejak memulakan operasi pada tahun 2019, RRM di Hospital USM telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 penghuni dengan hanya mengenakan bayaran sebanyak RM5 sehari kepada keluarga pesakit yang menginap di rumah berkenaan.

Turut hadir semasa kunjungan singkat ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM; Timbalan Dekan (Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam; dan Pengurus RRM, Nurul Wahida Harun.

Teks: MPRC Kampus Kesihatan USM

  • Created on .
  • Hits: 395

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024