USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DANA KERAJAAN JEPUN DAN KEPAKARAN USM FOKUS PEMERKASAAN OKU

WhatsApp Image 2023 03 14 at 9.28.35 AM

PENGKALAN CHEPA, KELANTAN, 8 Mac 2023 – Pusat Latihan Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) Masalah Pembelajaran telah ditubuhkan di Rumah Sri Kenangan (RSK), Taman Kemumin pada tahun 2019.

Pusat ini merupakan kolaborasi antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Koperasi Cakna OKU Kelantan bertujuan memberi bimbingan dan latihan kepada golongan OKU sehingga mereka berkeyakinan dan boleh berdikari serta dapat membina kerjaya dalam bidang pertanian atau perniagaan.

Selaras dengan tujuan tersebut, kerajaan Jepun telah bersetuju menyumbang bantuan Geran Jepun untuk Projek Keselamatan Manusia Akar Umbi (GGP) 2021 kepada Koperasi Cakna OKU Kelantan melalui geran berjumlah RM295,624.99 bagi pembinaan infrastruktur projek pertanian bersepadu.

Majlis Penyerahan Tapak Projek Pertanian Bersepadu OKU Masalah Pembelajaran telah disempurnakan oleh Konsul Jeneral Jepun, Kawaguchi Yoshiyasu kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hari ini.

Yoshiyasu dalam ucapannya berkata, kerajaan Jepun berbangga dan berbesar hati untuk mengeluarkan geran kepada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi membantu meneruskan kelangsungan hidup golongan OKU.

“Pemberian geran ini menandakan sumbangan bermakna oleh kerajaan Jepun kepada rakyat Malaysia terutama bagi golongan OKU.

“GGP adalah skim bantuan kewangan di bawah Kementerian Luar Jepun bagi projek-projek khusus untuk memenuhi keperluan asas dan keselamatan manusia di negara-negara membangun,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman pula berkata, USM berterima kasih kepada kerajaan Jepun atas sumbangan geran tersebut dan penghargaan kepada JKM kerana memberi sokongan padu serta kebenaran untuk menggunakan tapak RSK bagi menjalankan projek tersebut.

“Saya percaya kerjasama strategik ini akan menjadi model perkhidmatan dan rujukan pihak lain tentang cara bekerjasama dengan agensi kerajaan luar untuk menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan sasar dalam usaha memperkasa golongan OKU.

“Pemerkasaan OKU merupakan salah satu fokus USM di bawah agenda 'Accelerated Programme for Excellence' (APEX). Adalah menjadi aspirasi USM untuk menghasilkan program pemerkasaan OKU selaras dengan moto ‘Mentransformasi Orang Kurang Upaya daripada Liabiliti kepada Produktiviti’,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, projek pemerkasaan ini juga sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Negara 2030 iaitu mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan OKU.

“Saya berharap kerajaan Jepun akan terus memberi sokongan kepada kita dalam apa jua cara demi meningkatkan taraf kehidupan OKU di Malaysia,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Said Sidup; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kelantan, Zainudin Mohamed; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah; dan Penyelaras Pusat Transformasi OKU USM – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Ketua Projek Pertanian Bersepadu OKU Masalah Pembelajaran, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Muhammad Sham Mustapha

  • Created on .
  • Hits: 514

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024