USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA LAWATAN PENANDA ARAS KKU THAILAND DAN UITM SHAH ALAM

USM PULAU PINANG, 12 Mac 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menerima lawatan penanda aras dari dua buah institusi pegajian tinggi dalam dan luar negara iaitu Khon Kaen University (KKU) dari Thailand dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Shah Alam.

4FF97129 6F85 4D76 AD97 145AAABFD831

Kedua-dua lawatan tersebut telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman dan para pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS 1).

Khon Kaen University diketuai oleh Timbalan Presiden Pembangunan Pelajar dan Perhubungan Alumni merangkap Setiausaha Hal Ehwal Promosi Komiti KKU, Profesor Madya Dr. Piansak Pakdee.

Dalam ucapan alu-aluannya, Azlinda mengucapkan selamat datang kepada delegasi dari KKU dan berterima kasih atas kesudian melawat USM.

“Saya juga berbesar hati untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan KKU dari segi perkongsian ilmu dan hubungan antara kedua-dua universiti,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan secara sepintas lalu berkaitan USM seperti jumlah kampus, pusat pengajian dan kursus-kursus yang ditawarkan, aktiviti pelajar serta pelajar antarabangsa termasuk yang mengikuti program pertukaran pelajar.

Sementara itu, Piansak Pakdee pula dalam ucapan balasnya merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga atas penerimaan USM atas lawatan tersebut.

Beliau juga turut menyampaikan hasrat untuk menjalin kerjasama dalam bidang akademik dan pertukaran pelajar dimana yang berkaitan.

Menurut beliau lagi, KKU yang ditubuhkan pada tahun 1966 adalah merupakan universiti penyelidikan dan merupakan salah satu universiti tertua serta hab pendidikan paling berprestij di timur laut Thailand. KKU juga merupakan universiti yang diiktiraf secara meluas dalam bidang perubatan, kejuruteraan, sains, pertanian dan sains sosial.

Universiti Khon Kaen menduduki tempat ke-21 di Asia Tenggara oleh Times Higher Education (THE) pada 2009, dan ke-4 oleh The Office of Higher Education Commission, Thailand.

Delegasi KKU seramai 50 orang pelajar dan 6 orang pegawai adalah dalam rangka lawatan untuk “The 18th Enhancing Global Awareness for Khon Kaen University Student Leaders Program”.

Antara objektifnya ialah untuk melibatkan pelajar KKU dan memberi pendedahan kepada mereka tentang kepelbagaian budaya dengan komuniti dan pelajar universiti dari luar negara.

Dalam lawatan ini turut diadakan pembentangan dan pertukaran pengalaman antara kedua-dua pihak dimana USM diwakili oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Penerangan oleh MPP adalah berkisar perihal dan fungsi MPP dan Dewan Persidangan Pelajar (DPP) atau parlimen mahasasiswa di USM. Selain itu diadakan juga pertukaran dan persembahan kebudayaan.

Adikarma telah membuat persembahan tarian mewakili USM manakala delegasi pelajar KKU turut menampilkan persembahan khusus masyarakat daerah timut laut Thailand yang menghiburkan dan mendapat tepukan gemuruh dari penonton.

Delegasi KKU turut mengambil kesempatan melawat Muzium dan Geleri Tuanku Fauziah sebelum betolak pulang ke Thailand.  

Dalam pada itu, USM turut menerima lawatan seramai 30 orang pegawai dan staf dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam.

997FF284 5A14 43CE A172 FCA5EF1310EE

Ketibaan delegasi tersebut diketuai oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Pelajar, UiTM Shah Alam, Dr. Shahsuzan Zakaria.

Lawatan ini bertujuan menanda aras UiTM dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dari segi pengurusan desasiswa, pelajar dan kebudayaan serta membina jaringan kerjasama pembangunan pelajar antara universiti.

Azlinda dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih atas kesudian UiTM kerana memilih USM untuk dijadikan penanda aras.

Beliau turut menyampaikan perkongsian serba sedikit perihal ehwal USM terutama yang berkaitan dengan pelajar dan kebajikan pelajar, penempatan pelajar di desasiswa, penglibatan pelajar dalam kesukarelawan, fungsi Unit Penginapan dan Perumahan Universiti (HAC), Pusat Pembagunan Bakat, Pusat Pembangunan Hebat (HDC), The Bricks dan sebagainya.

Beliau berharap semoga dengan lawatan penanda aras ini, USM dan UiTM dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala serta lebih banyak kerjasama terjalin antara USM dan UiTM di masa hadapan.

Dalam lawatan penanda aras tersebut delegasi UiTM turut dibawa melawat ke beberapa tempat antaranya ialah Blok F26 Desasiswa Cahaya Gemilang-Harapan yang menempatkan bilik-bilik ‘premium’ yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang membayar sewa mengikut kelengkapan bilik tersebut.

Delegasi UiTM juga melawat The Bricks yang mempunyai pelbagai fungsi, iaitu selain berperanan sebagai tempat penjualan cenderahati USM tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar serta menyediakan ruang rehat santai untuk pelajar bersosial.

Turut hadir dalam kunjungan dan lawatan penanda aras dari Khon Kaen University, Thailand dan UiTM Kampus Shah Alam ialah Timbalan Pendaftar BHEPA, Cik Jelfariny Mohd Jelani; Pengarah Pusat Pembangunan Hebat, Encik Hazlan Abdul Hamid; Pengarah Pembangunan Bakat, Encik Zulkifli Che Hussin; Ketua Penolong Pendaftar, Unit Perumahan dan Penginapan Universiti, Encik Simon Wong Heng Cheang; Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni, Puan Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal; dan pegawai serta staf dari BHEPA.

Teks : Zamzami Rasidi
Foto : Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 782

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024