DINOBATKAN JUARA PERTANDINGAN DEBAT, 4 PELAJAR HARUMKAN NAMA UNIVERSITI
USM PULAU PINANG, 9 Mac 2023 – Empat pelajar dari Pasukan Debat Bahasa Melayu, Kelab Debat dan Pengucapan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Debat Darul Ta’zim 2023, iaitu salah satu subkarnival bersempena dengan Minggu Siswa Johor V yang berlangsung pada 4-6 Mac lalu di Dewan Pendeta Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Bertemakan Mahasiswa Pencetus Kematangan Politik Negara, pertandingan debat itu merupakan anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyaksikan 16 pasukan dari 11 universiti di Malaysia mengambil bahagian, dan USM menghantar dua pasukan iaitu USM A dan USM B.
Pasukan USM A muncul juara diwakili oleh:
- Muhamad Hafizi Mohd Hanafi (Tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)
- Muhammad Nor Azlan Yusof (Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)
- Muhammad Irfan Shah Duraman (Tahun 2, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia)
- Nurul Annis Rashidi (Tahun 1, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik)
Pentas akhir menyaksikan USM dipertemukan dengan pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Pagoh (UIA) dengan usul ‘Dewan Ini Percaya, Gabungan Kerajaan Perpaduan Mampu Memacu Negara’.
Bagi menyahut seruan Malaysia Madani, usul yang dibahaskan oleh pasukan USM A telah berjaya menyentuh hati para hakim, yang mana pasukan USM A berjaya membuktikan bahawa kerajaan perpaduan yang terbentuk sekarang mampu dinilai melalui unjuran positif ke arah ‘Malaysia Madani’.
Selain itu, Muhamad Hafizi telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik pusingan akhir dan pendebat terbaik keseluruhan yang turut menyaksikan 3 orang lagi pendebat USM A dan USM B tersenarai sebagai 10 pendebat terbaik keseluruhan.
Menurut Muhamad Hafizi yang juga merupakan ketua pasukan USM, kejayaan yang diraih merupakan kejuaraan pertama yang diraih oleh pasukan debat USM setelah kali terakhir menjadi juara adalah dalam edisi Debat Terbuka OKU Merdeka 2021.
“Beberapa pencapaian diraih pada tahun 2021 dan 2022; dan akhirnya, pada Mac 2023 telah menjadi detik yang indah untuk pasukan debat USM muncul sebagai juara Debat Darul Ta’zim.
“Saya berharap agar kejayaan ini dapat menjadi pemangkin ke arah lebih banyak kejayaan pada masa yang akan datang,” katanya.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Poster: BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 887