USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PM LANCAR BUKU WATER FOR ALL; SUMBANGAN PROFESOR USM DIKENANG

IPOH, PERAK, 11 Mac 2023 – Sumbangan besar akademia Universiti Sains Malaysia (USM), Allahyarham Profesor Dr. Ismail Abustan khususnya dalam bidang kejuruteraan air di negara ini dikenang dan dibukukan dalam naskhah bertajuk Water for All.

A04B91FA FA40 45F3 9303 8BCB67171362

Intipati buku yang dihasilkan daripada gabungan kerjasama antara UNESCO-IHP dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia itu berkisar kepada rangkuman hasil penyelidikan Allahyarham bersama pakar-pakar terkemuka dari dalam dan luar negara.

B91DB683 C445 47A5 A46A 42E3D43F87CB

Selain kerjasama dengan pelbagai pihak, kandungan buku yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut memuatkan penglibatan Allahyarham bersama komuniti khasnya dalam menghadapi cabaran pengurusan air negara.

Menurut penyunting Water for All, Profesor Dr. Nabsiah Abdul Wahid yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, buku berkenaan menggabungkan 21 bab merangkumi kajian-kajian Allahyarham yang bertugas di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) USM bersama pakar dari seluruh negara.

“Ia termasuk kerjasama yang dijalankan dengan pihak luar seperti Jepun, Australia, rakan-rakan seangkatan dari pelbagai sektor, pelajar-pelajar siswazah dan ramai lagi,” ujar beliau.

Nabsiah turut berkata, buku berkenaan yang mula diterbitkan pada Disember tahun lalu itu turut melibatkan dua lagi penyunting iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol (USM) dan Dr. Khai Lin Chong (UUM).

“Antara yang menarik adalah pengalaman Allahyarham dalam kajian berkaitan langkah menyelesaikan masalah sisa pepejal di Mekah serta sumbangannya membantu komuniti termasuk orang asli berkaitan isu bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2023 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Selain melancarkan Water for All, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tesis Sumber Air Terbaik Peringkat Kebangsaan yang dimenangi oleh pelajar siswazah USM dari PPKA, Dr. Mudashiru Rofiat Bunmi.

6664507C C01B 4BAB AA4D 9A5AAFEA0EF1

Anugerah ini memberi fokus kepada bidang penyelidikan yang memperkasa pengurusan air secara mampan, sekaligus dapat meningkatkan kecemerlangan pengurusan sumber air dan hidrologi di Malaysia.

Hadir sama ke majlis anjuran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan kerjasama pelbagai agensi persekutuan dan negeri itu ialah Dekan PPKA USM, Profesor Dr. Mohd Suffian Yusoff yang mewakili Naib Canselor, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed. 

CBC2099D 4FC4 4EA9 AEA9 725DE238FC74

 Teks dan Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 787

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024