HILAL RAMADHAN USM: PELBAGAI AKTIVITI BAKAL DISAJI, SUMBANGAN WARGA KAMPUS DIALUKAN
USM PULAU PINANG, 10 Mac 2023 – Ahlan Ramadhan, Selamat datang Ramadhan! Antara bulan yang dinantikan seluruh umat Islam dalam menantikan kemeriahan pelbagai aktiviti dan program ibadah dalam meraikan sepanjang bulan mulia ini.
Begitu juga dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Islam USM tidak melepaskan peluang turut sama menyediakan pelbagai aktiviti dan program di Masjid Al-Malik Khalid sepanjang Ramadhan untuk warga kampus mahupun masyarakat sekelilingnya hadir memeriahkan program-program tersebut.
Antara yang dinantikan adalah Pelaksanaan Ifthar dan jamuan berbuka puasa sepanjang Ramadhan khusus untuk warga kampus termasuk para siswa dan siswi yang majoritinya dari keluarga sederhana serta masyarakat setempat yang dianggarkan seramai 2,500 sehingga 3,000 orang setiap hari bakal hadir memeriahkan aktiviti itu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, melalui program-program yang bakal dijayakan, dana infaq Ramadhan yang diperlukan adalah membabitkan jumlah kos sebanyak RM300,000 secara keseluruhannya.
"Saya turut dimaklumkan kos bagi jamuan berbuka puasa pada tahun ini dianggarkan sebanyak RM6,000 sehari.
Manakala, untuk jamuan sahur yang kebiasaannya diadakan pada 10 malam terakhir, kos yang diperlukan adalah sebanyak RM1,500 sehari.
"Justeru itu, USM melalui Pusat Islam memohon sumbangan ikhlas daripada semua warga kampus dan komuniti sekitarnya untuk bersama-sama menampung kos-kos yang diperlukan sepanjang Ramadhan tahun ini. Semoga sumbangan yang diberikan akan diberkati dan mendapat ganjaran pahala di akhirat kelak," ucap beliau ketika merasmikan Majlis Hilal Ramadhan Peringkat USM 1444H/2023.
Tambah Abdul Rahman, sumbangan tersebut juga akan membantu melancarkan aktiviti-aktiviti lain yang turut dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan antaranya Tazkirah Ramadhan, Tadarus Al-Quran, sumbangan kepada surau qaryah, sumbangan kepada Asnaf, Ziarah Amal Ramadhan dan lain-lain lagi.
Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Lembaga Tabung Haji atas sumbangan Program IQRA’ Tabung Haji IPTA 2022 berjumlah RM600,000 yang telah dimanfaatkan oleh golongan Asnaf pelajar Faqir dan Miskin USM.
"Syukur Alhamdulillah, lebih 550,000 individu telah menerima manfaat daripada Program CSR Zakat Tabung Haji," kata Abdul Rahman lagi.
Pada majlis tersebut juga, Naib Canselor berkesempatan melancarkan pembukaan akaun Tabung Haji kepada Asnaf pelajar Faqir dan Miskin USM dalam usaha menaik taraf kehidupan Asnaf pelajar USM melalui Pusat Islam dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Negeri Pulau Pinang.
Yang turut hadir ke majlis tersebut ialah Mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Maznizan Mamat; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Tuan Haji Rosidi Hussain dan Mewakili Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 796