USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GSB USM-ADRC METERAI MoU, JALIN KERJASAMA BANGUNKAN PROGRAM SIJIL PROFESIONAL KHAS

ADRC1

USM PULAU PINANG, 9 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) USM hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Advanced Dispute Resolution Centre (ADRC).

MoU ini dimeterai khusus bagi memberi fokus kepada program tanggungjawab sosial di antara kedua-dua pihak dalam menjadi Pengantara (mediator) yang berupaya memberi khidmat dan bantuan kepada rakyat negeri Pulau Pinang, khususnya mereka yang menghadapi kes-kes pertikaian.

Kerjasama strategik ini adalah untuk membolehkan kedua-dua pihak membangunkan program khas iaitu Sijil Profesional dalam Amalan Penyelesaian Pertikaian Alternatif, yang mana sijil tersebut akan dikeluarkan oleh GSB USM kepada para peserta selepas tamat kursus.

IMG 0289

IMG 0298

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Pengerusi Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP), Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Mohd Yussof Latiff merangkap Penasihat ADRC.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, pihak USM amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan ADRC, yang mana ianya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial USM sekaligus meneroka peluang baharu dalam membangun, menyokong dan memperkayakan program penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Harapan saya adalah agar MoU pada hari ini akan menjadi tapak permulaan untuk USM dan ADRC untuk meneruskan kerjasama dan perkongsian strategik antara kedua belah pihak pada masa hadapan,” kata Abdul Rahman.

Sementara itu, Yussof Latiff dalam ucapannya berkata, beliau berharap penawaran kursus ini dapat melatih lebih ramai pengamal ADR untuk membantu mengatasi peningkatan kes-kes pertikaian dalam masyarakat.

“Saya harap masalah tersebut dapat dibendung dengan memperkenalkan cara penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan dan lebih berteraskan kepentingan masa depan kepada masyarakat umum,” katanya.

IMG 0351

Turut diselitkan dalam majlis ialah penyampaian sijil Train for Trainers kepada pihak ADRC.

Hadir sama pada majlis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Pulau Pinang, Joseph Ng Soon Siang; Dekan GSB USM, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim; Presiden, Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri R. Arunasalam V. Ramasamy; Naib Presiden, Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Ar. Jong East Full serta pegawai-pegawai utama ADRC dan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 830

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024