USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CHAMIL WARIYA TERIMA PhD HASILKAN KAJIAN TENTANG UCAPAN PM

IMG 0760

PULAU PINANG, 27 April 2015 - Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya baru-baru ini menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dengan menghasilkan kajian berkenaan ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Chamil Wariya, 62, merupakan antara 262 penerima PhD pada Upacara Konvokesyen ke-51 USM sidang pertama yang disempurnakan Canselor USM, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Beliau yang melanjutkan pelajaran di USM pada 7 Mac 2012 menyempurnakan PhDnya dalam bidang komunikasi politik dalam masa dua tahun atau empat semester iaitu tempoh minimum.

Chamil menghasilkan tesis yang bertajuk "Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik" dengan mengkaji 15 teks ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO dari tahun 1988 hingga 2013 dengan menggunakan pendekatan neo-Aristotlelian atau neo-klasikal sebagai kerangka kajian yang dilakukan.

IMG 0746

Chamil berkata, berdasarkan hasil dapatan kajian tersebut Najib merupakan seorang yang saintifik dan hebat dalam ucapan-ucapannya dengan menggunakan fakta yang kukuh, selain statistik, peribahasa, bidalan, dan sebagainya untuk menyokong hujah beliau.

"Najib turut menggunakan testimoni dari petikan kalangan mereka yang berwibawa serta sumber daripada Al-Quran yang jelas nasnya dan kukuh faktanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini yang kesemuanya cemerlang dalam pelajaran turut menasihati anak-anak muda agar sentiasa berpegang teguh kepada pendirian diri dan melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dilakukan kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih.

Terdahulu, Raja Perlis selaku Canselor USM pada Sidang Pertama Upacara konvokesyen Ke-51 bertitah menyeru agar siswazah USM sentiasa berpegang kepada moto "Kami Memimpin" untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Baginda turut menyampaikan ijazah kepada 262 orang siswazah Doktor Falsafah, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Kesihatan Awam.

"Bilangan yang besar bukanlah satu-satunya ukuran sebenar kejayaan yang kita capai, tetapi bergantung juga kepada sejauh mana sumbangan kita kepada masyarakat dan negara kerana kejayaan universiti perlu dilihat melalui kemampuan kita mengeluarkan siswazah yang dapat memimpin dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai organisasi, institusi, korporat malah dunia seluruhnya dan sejauh mana mampu menzahirkan makna "Kami Memimpin" di mana sahaja mereka berada termasuk dalam keluarga dan masyarakat," titah baginda. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1614

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024