USM, PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA METERAI MoU MAJUKAN DUNIA KEPENGAKAPAN NEGARA
USM PULAU PINANG, 6 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) pada julung kalinya hari ini telah menjalinkan kerjasama bersama Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU yang termeterai itu adalah untuk menjalinkan kerjasama secara lebih profesional dan ilmiah bagi membantu PPM meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pentadbiran pengakap yang menyentuh tentang aspek-aspek berkaitan polisi, penulisan, penerbitan dan juga penyelidikan, yang mana ini merupakan satu langkah yang diambil oleh PPM untuk memajukan dunia kepengakapan di negara ini.
Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin (B), disertai Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk dan Pengarah Akademi Pengakap Negara PPM, Profesor Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, kerjasama pada hari ini merupakan satu sejarah bagi USM, yang mana pada julung kalinya sebuah universiti awam mengadakan kolaborasi pintar secara profesional dan ilmiah dengan PPM, sebuah badan NGO beruniform yang popular dan bergerak aktif di negara ini.
“Saya berharap agar perkongsian pintar dan kerjasama melalui CenPRIS ini akan membuahkan hasil yang positif dan berjaya memenuhi hasrat serta matlamat untuk pembangunan PPM dari aspek polisi, penyelidikan dan penerbitan,” katanya.
Tambah Abdul Rahman lagi, USM bersedia untuk membantu PPM dalam apa jua bidang kepakaran yang diperlukan dan apa yang lebih penting ialah impak terhadap kumpulan sasar PPM iaitu ahli-ahli dan para pemimpin yang amat memerlukan tahap kreativiti dan inovasi yang tinggi, yang boleh dibanggakan oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, masyarakat dan negara.
Sementara itu, Mohd Zin dalam ucapannya berkata, PPM telah membuat pilihan yang tepat untuk mengadakan kolaborasi dengan USM iaitu universiti APEX yang juga merupakan antara universiti penyelidikan yang terunggul di negara kita.
Tambahnya lagi, kolaborasi pintar ini akan memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu:
1. Meningkatkan integriti dan prestasi pengurusan serta pentadbiran polisi dan undang-undang PPM yang sedia ada;
2. Mengadakan kerjasama penyelidikan dan kajian impak terhadap program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;
3. Mendapatkan khidmat nasihat dan kemahiran untuk menerbitkan buku-buku berkaitan sejarah dan pembangunan pengakap sejak penubuhannya di Malaysia pada 1905.
Hadir sama pada majlis adalah pegawai-pegawai utama PPM dan pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 778