USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR USM TERIMA KUNJUNGAN KETUA POLIS PULAU PINANG, FOKUS KERJASAMA STRATEGIK DALAM KESIHATAN MENTAL

Kunjungan Hormat Polis PP Softcopy

USM PULAU PINANG, 6 Mac 2023 – Ketua Polis Pulau Pinang, YDH CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain hari ini meluangkan masa mengadakan sesi kunjungan kerja bersama Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Ketua Polis Pulau Pinang hadir bersama Pegawai-pegawai Kanan Polis Kontingen Pulau Pinang bertujuan membincangkan usahasama-usahasama strategik yang boleh dilaksanakan bersama antara kedua-dua pihak.

Kunjungan selama satu jam di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori USM, antara lain menyentuh perkara-perkara membabitkan usaha yang boleh dilakukan antara PDRM-USM bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pegawai polis dan penjawat awam secara keseluruhannya.

Bercakap pada sesi kunjungan, Abdul Rahman berkata, beliau amat menghargai dan menyanjung tinggi kepercayaan dan harapan PDRM bagi menjalinkan usahasama strategik dengan USM bagi beberapa perkara yang  dibincangkan untuk dimeterai antara kedua-dua pihak.

"USM sentiasa bersedia berkongsi dan membantu apa juga aspek kepakaran yang dimiliki khususnya berkaitan akademik, termasuklah penglibatan aktiviti kemasyarakatan dalam pembangunan kesejahteraan sosial dan emosional," katanya.

Tambah beliau, sejak tahun 2022 kerjasama erat antara USM dan PDRM Kontingen Pulau Pinang telah terjalin dalam beberapa kajian, antaranya program kesedaran kesihatan mental, kajian keberkesanan Georgetown Preventive Patrol Experiment (GPPE), Nilai Titik Ambang Index Jenayah dan beberapa kajian membabitkan penggunaan wang gaji sendiri dalam menguruskan kerja kepolisan dalam kalangan anggotanya.

Selain itu, Mohd Shuhaily berkata, keberadaan USM dalam susulan jalinan kerjasama ini amat penting buat PDRM memandangkan USM sedia maklum mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan untuk bersama-sama PDRM meningkatkan kualiti perkhidmatan awam berkaitan kepolisan.

"Sudah pastinya kekuatan yang ada pada kedua-dua organisasi ini mampu menjadi batu loncatan untuk menjangkau langkah seterusnya dalam aspek kesihatan mental dan sosioekonomi kerja kepolisan dalam kalangan anggotanya supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik buat negara," katanya.

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), USM, Prof. Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk; Felo Kanan USAINS Holding Sdn. Bhd. merangkap Prof. Madya Kehormat Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM, Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail; Ketua Cawangan Khas, PDRM Kontingen Pulau Pinang, SAC Winston Tan Thye Wah; Prof. Madya Kehormat CenPRIS, Dato' Dr. P. Sundramoorthy dan ketua-ketua jabatan PDRM Kontingen Pulau Pinang.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1385

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024