MANTAN AHLI LGU USM DILANTIK KETUA SETIAUSAHA PERBENDAHARAAN
PULAU PINANG, 1 Mac 2023 – Mantan ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuat kuasa 27 Februari 2023.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan mengumumkan, pelantikan Johan diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jelasnya, pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas Johan sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.
Beliau turut yakin Johan berupaya menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara dengan cekap, telus dan berkesan, selari dengan hasrat Malaysia MADANI.
Johan, 50, merupakan lulusan kelas pertama University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England dan Wales (ICAEW).
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.
Sebelum menyertai kerajaan pada tahun 2004, beliau bekerja selama 9 tahun di sektor swasta (MRCB, Sime Darby dan PricewaterhouseCoopers), yang mana beliau memegang beberapa portfolio penting dalam bidang kewangan korporat dan perakaunan.
Jawatan terakhir yang dipegangnya sejak Mac 2022 adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 616