ALUMNI USM DISERU MENJADI "ROLE MODEL" KEPADA MASYARAKAT
PULAU PINANG, 27 April 2015 - Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadi sebahagian daripada komuniti ilmuan universiti, komuniti terpelajar dan komuniti berpemikiran aras tinggi diseru untuk menjadi "role model" kepada masyarakat, negara malah juga dunia seluruhnya.
Demikian kata Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dalam ucapannya pada Sidang kedua Upacara konvokesyen ke-51 USM.
"Saya percaya, USM telah mendidik saudara-saudari berfikiran matang dan tahu membezakan di antara kaca dengan permata malah mendidik saudara-saudari erti kebebasan yang perlu seiring dengan tanggungjawab dan berakauntabiliti tinggi, beramanah dan bertanggungjawab," katanya.
Tambah Mustafa lagi, USM sentiasa mendorong warganya untuk berpegang teguh kepada motto Kami Memimpin dan semangat APEX Memacu Kecemerlangan sebagai teras utama tindakan pada masa hadapan apatah lagi memacu kecemerlangan untuk mendapat keredhaan Tuhan dunia dan akhirat.
Tegasnya, “nilai-nilai yang kita perlu bawa sebagai pemimpin dalam mewujudkan kesejahteraan sebagai teras utama kehidupan, yang kita impikan dalam membawa kebahagiaan dan ketenangan hidup, diri sendiri serta persekitaran dan di mana sahaja kita berada."
Sebelum itu, Mustafa menyampaikan ijazah kepada 505 graduan sarjana.
Sementara itu, dalam sidang ketiga upacara konvokesyen USM ke-51, Pro Canselor USM, Tan Sri Dr. M. Jegathesan mengingatkan para siswazah kepada pelbagai cabaran yang menanti di hadapan, sama ada akan memasuki dunia kerjaya atau meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut memetik tujuh perkara yang disebut oleh bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore yang menulis dalam bukunya bertajuk "The Future" (2013) yang menyenaraikan enam kebangkitan atau perkembangan yang menentukan masa hadapan dunia seluruhnya.
"Saya menyeru dan berharap agar para graduan benar-benar memahami cabaran-cabaran ini agar sentiasa bersedia dan boleh menghadapinya pada masa hadapan. Bukan sahaja menjadi negara ini tempat untuk mencari rezeki dan membina kehidupan, malah juga mampu untuk berada di mana sahaja bumi Tuhan ini untuk terus berjaya," tegas beliau.
Jegathesan sebelum itu telah menyampaikan ijazah kepada 363 orang graduan ijazah pertama.
Pada sidang ketiga juga, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman meminta para siswazah mencontohi dan menjadikan Pro Canselor USM sebagai "role model" kepada kita semua, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda kita.
Mengambil Jegathesan sebagai contoh, Omar berkata, “sehingga sekarang, Tan Sri masih terus menyumbang tenaga dan fikirannya pada peringkat dunia secara berterusan, manakala dua orang lagi Pro Canselor kita, Tan Sri Razali Ismail sentiasa diingati sebagai tokoh diplomat yang disegani dunia yang pernah berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, alumni kita yang berjasa besar kepada negara, seorang pendidik dan tokoh korporat yang disegani serta terus terlibat dalam usia emasnya memberikan fikiran dan sumbangan di peringkat negara mahu pun antarabangsa."
Menurut Omar lagi, mereka adalah contoh bagaimana usia tidak pernah menghalang seseorang untuk terus belajar dan memberikan sumbangan besar kepada negara, bangsa dan dunia seluruhnya.
"Terdapat siswazah kita pada usia emas yang tidak pernah mengalah dalam mencari dan menguasai ilmu pengetahuan dan seterusnya memberikan sumbangan kepada masyarakat.
“USM sememangnya berbangga dengan usaha sebegini, seperti mana yang menjadi aspirasi di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) yang menekankan salah satu lonjakannya kepada pembelajaran sepanjang hayat, USM sudah lama melaksanakan polisi ini sama ada melalui pengajian sepenuh masa mahu pun jarak jauh.
Malah kita pernah menerima siswazah berusia lebih 70 tahun dan siswazah berusia lebih 60 tahun itu sudah menjadi norma biasa di sini. Inilah yang harus kita tauladani dalam kalangan anak-anak muda kita," tambahnya lagi.
Dalam ucapan penutup pada sidang ketiga ini, Omar turut mengalu-alukan para alumninya yang kini menjangkau 122,318 siswazah ijazah pertama dan kira-kira 22,715 siswazah ijazah tinggi untuk kembali membangunkan budaya ilmu demi kelangsungan USM pada masa hadapan. - Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1500