USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KURSUS INTENSIF RPJJ KEMBALI LAGI

USM PULAU PINANG, 4 Mac 2023 - Setelah dua tahun menghadapi pandemik COVID-19, kini Kursus Intensif untuk pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) kembali lagi.

162FF5CE 0AB1 4E29 9FD4 9B9457A9803D

Kursus intensif bermula 1 Mac sehingga 21 Mac 2023 dan para pelajar akan mengikuti kelas secara bersemuka dan juga menduduki Peperiksaan Berterusan (PB) mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Proses pendaftaran ke desasiswa telah berlangsung bermula 28 Februari - 1 Mac di Dewan Utama Pelajar (DUP) B.

Antara yang mendaftar adalah pasangan ibu dan anak iaitu Ku Meriam Binti Ku Hussain, 64, dan Nurul Huda Binti Sarkadi, 38. Kedua-dua mereka adalah pelajar bidang Pengurusan.

Menurut Nurul Huda, ini adalah kali pertama dan mungkin kali terakhir beliau hadir ke Kursus Intensif bersama ibunya kerana beliau kini di tahun akhir manakala ibunya kini berada di tahun ketiga pengajian.

"Alhamdulillah kami dapat belajar bersama-sama dan bertukar-tukar pandangan," kata Nurul Huda.

Salah seorang pelajar tahun akhir Bidang Pengurusan, Zulkiflee Ahmad, 47, sangat teruja menghadiri pendaftaran Kursus Intensif dan menawarkan bantuan pengangkutan kepada pelajar terutamanya tahun pertama yang belum pernah menjejak kaki di USM.

Beliau yang ternanti-nanti untuk mengikuti kursus intensif secara bersemuka juga teruja untuk menjawab PB secara fizikal.

"Ini adalah tahun terakhir saya dan berharap sangat dapat membantu para pelajar semaksima mungkin terutama yang pertama kali menjejak kaki ke USM walaupun telah berada di tahun tiga pengajian," tambah Zulkiflee yang turut menyediakan tiga buah motosikal untuk kegunaan pelajar yang memerlukan dan beliau juga sanggup berulang alik ke Terminal Bas Sungai Nibong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk menjemput rakan-rakannya.

Dijangkakan seramai 4,900 pelajar RPJJ akan berada di dalam kampus sepanjang kursus intensif berlangsung.

Selamat maju jaya kepada semua pelajar bagi menempuh PB dan kelas. Manfaatkan masa dan ketika ini untuk berkenalan dan mencipta kenangan manis bergelar pelajar Jarak Jauh di USM.

Pihak PPPJJ juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh staf PPPJJ dan semua jabatan yang telah membantu melicinkan pendaftaran pelajar termasuk Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti, Jabatan Keselamatan, Pusat Sejahtera dan semua pengurusan desasiswa.

Teks: Nor Rafizah Md Zain & Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 764

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024