USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TUJUH PANDANGAN TNC AKADEMIK DAN ANTARABANGSA KEPADA PEMIMPIN UNIVERSITI

e71c22c8 6229 4d97 9f57 696969b7f8c7

USM PULAU PINANG, 2 Mac 2023 – Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat memberikan tujuh nasihat sebagai panduan kepada ketua jabatan dan pemimpin di universiti.

Bercakap ketika membuat kesimpulan syarahan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad yang bertajuk Finding Possibility Amidst Uncertainty: Managing Resources Strategically di sini hari ini, Narimah berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman yang dilaluinya ketika mula terlibat dalam kepimpinan di universiti

Yang pertama, kita perlu menghormati semua sumber yang ada dalam sesebuah jabatan terutamanya mereka yang senior.

"Jangan takut untuk meminta bantuan orang lain. Mereka sentiasa akan membantu jika kita tahu cara berkomunikasi dan memintanya dari mereka yang lebih lama melaluinya," kata Narimah.  

Kedua, sentiasa berusaha untuk belajar dari orang lain. Dengan cara ini akan memudahkan lagi apa yang ingin dicapai. Pengalaman mereka yang pelbagai boleh membantu dalam proses membuat keputusan dan mencari idea baharu.  

"Ketiga, saya selalu percaya kita perlu berkolaborasi dan membina networking atau rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak yang ada dan dapat memainkan peranan bersama-sama. Kita tidak boleh lagi bekerja bersendirian," kata Narimah.

Menurut beliau, perkara keempat ialah sentiasa berbuat baik dan menjaga adab dalam perhubungan dengan orang lain. Ini akan memudahkan orang lain untuk membantu dan bersedia untuk bersama-sama dalam menghadapi cabaran yang ada.

"Yang kelima ialah jaga sumber yang ada dengan sebaik-baiknya dan jangan malukan mereka walaupun mereka berbuat silap atau mempunyai pandangan yang berbeza," tegas beliau lagi.

Yang keenam, sentiasa permudahkan urusan orang lain dan orang lain akan permudahkan urusan kita.

"Yang terakhir (ketujuh) ialah, seseorang pemimpin perlu membuat keputusan yang cepat tetapi mengambil kira semua faktor dan berasaskan data atau fakta yang tepat dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan tugas yang diberi," kata Narimah.  

Kira-kira 70 orang ketua jabatan menghadiri syarahan tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan USM.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 575

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024