USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANFAATKAN SUMBER YANG ADA DI SEKELILING UNTUK KECEMERLANGAN INSTITUSI

USM PULAU PINANG, 2 Mac 2023 – Pemimpin dan ketua jabatan seharusnya memanfaatkan sumber yang ada dalam kawalannya untuk mencapai kecemerlangan.

F76ABD52 E44E 41A7 A1E9 43C483EB0274

Menurut Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad, ramai dalam kalangan pemimpin yang resah kerana tidak mempunyai sumber yang cukup untuk menggerakkan institusi atau jabatan yang dipimpinnya.

"Sedangkan pemimpin itu tidak terlebih dahulu meneliti sumber-sumber yang ada dalam kawalannya untuk mencapai matlamatnya," kata Noor Hazlina dalam syarahannya yang bertajuk Finding Possibility Amidst Uncertainty: Managing Resources Strategically di sini hari ini.

Kira-kira 70 orang ketua jabatan USM mengikuti Syarahan beliau. Yang turut sama hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat. Program dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan USM.

Menurut Noor Hazlina, dalam dunia VUCA (volatility, uncertainty, complexity and ambiguity) yang mencabar ini, fokus seseorang pemimpin seharusnya diberi kepada sumber yang ada pada semua peringkat, memanfaat kekuatan mereka dengan sebaik-baiknya dan memantau melalui data yang sahih.

"Jika seseorang pemimpin itu tahu beban tugas, kekuatan dan kekurangan setiap anggota yang ada dengan data yang sahih, menghargai setiap sumbangan mereka dan mengiktiraf pencapaian mereka sekecil mana sekali pun, maka perubahan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin," kata beliau.

Tegas Noor Hazlina, ini bermakna ia bergantung kepada bagaimana seseorang pemimpin memanfaatkan sumber yang ada terutamanya sumber keilmuan di sekelilingnya dan memberikan tanggungjawab seboleh mungkin berdasarkan minat dan kekuatan seseorang anggota yang ada.

Menurut beliau lagi, dalam menghadapi cabaran yang ada sekarang ini, satu daripada kunci kejayaan ialah bekerja bersama-sama atau berkolaborasi bermula dari dengan sumber dalaman sehinggalah dengan semua pihak di luar jabatan mahu pun dalam kalangan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dan membuka peluang di dalam dan luar negara.

Tambahnya, apabila berkomunikasi dengan pihak luar, seseorang pemimpin perlu kreatif menawarkan peluang kerjasama dan kreatif dalam penyampaian, bukan hanya meminta apa yang pihak lain boleh berikan kepada kita.

"Kita perlu bijak menggunakan dan mengambil peluang yang diberi untuk menjalinkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak yang pada mulanya mungkin bersikap skeptikal sedangkan faedah yang diperolehi adalah luar biasa," tambah beliau.

Jelas beliau, penawaran program kursus eksekutif misalnya, berupaya memberi peluang kepada sumber yang ada untuk terdedah kepada rangkaian kerjasama yang lebih luas dan menjadikan sesebuah jabatan atau institusi lebih "visible" walaupun mungkin keuntungan dari segi pendapatan adalah kecil.

Noor Hazlina turut berkongsi kisah kejayaannya memimpin Pusat Pengajian Pengurusan dengan memanfaatkan sumber yang ada dengan sebaik-baiknya serta pengalaman menjalin perhubungan dengan pelbagai pihak termasuk industri, agensi dan alumni.

"Selagi dapat memanfaatkan sumber-sumber yang ada sekeliling kita dari sumber dalaman, pemegang taruh di luar, mantan pensyarah dan kepakaran yang ada serta alumni, seseorang pemimpin mampu mengemudi institusi dan jabatannya dengan baik bagi mencapai matlamatnya," kata Noor Hazlina.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 464

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024