USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM TANDATANGAN PERSEFAHAMAN DENGAN UNIVERSITI JEPUN, THAILAND DAN INDUSTRI PERKUKUH KOLABORASI

BERTAM, 28 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan meningkatkan lagi kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan agenda masa hadapan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, melalui perkongsian pintar dengan kepakaran yang ada di universiti terkemuka dunia yang lain dan industri, universiti mampu mencapai kecemerlangan bukan sahaja akademik tetapi juga penyelidikan dan bidang-bidang lain untuk membangunkan masyarakat dan negara.

Beliau berucap dalam majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara Fakulti Perubatan, Osaka University, Jepun dengan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) untuk meningkatkan jaringan dan kolaborasi penyelidikan, pertukaran pelajar, pertukaran penyelidik, penganjuran bersama simposium, persidangan antarabangsa, program pengajaran dan pembelajaran (P&P) antara kedua-dua universiti. 

Yang hadir sama ialah Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang menandatangani dokumen-dokumen persefahaman sebagai saksi.

Hadir secara maya adalah Profesor Dr. Kamide Kei, Profesor Dr. Kazuki Fukuchi, Profesor Dr. Mai Kabayama dan Profesor Madya Dr. Dousatsu Sakata dari Osaka University.

Pada majlis yang sama, IPPT juga turut menandatangani MoU dengan Mahidol University, Thailand untuk kerjasama penyelidikan serta mempergiatkan usaha promosi program penyelidikan, pendidikan dan latihan.

Mahidol University diwakili oleh Profesor Dr. Chartchalerm Isarankura-Na-Ayudhya, Profesor Madya Dr. Wijit Wonglumsom, Penolong Profesor Dr. Chotiros Plablueng dan Dr. Lertyot Treeratanapiboon yang hadir secara maya.

Naib Canselor turut menandatangani MoA bagi pihak IPPT USM dengan syarikat Nanjing Vazyme Biotech Co. Ltd. dari China dan Biotek Abadi Sdn. Bhd. untuk menjalankan program "Emerging Infectious Disease" (EID).

Kedua-dua industri tersebut akan memberi sumbangan sebanyak RM100,000 dalam bentuk bahan-bahan penyelidikan kepada program penyelidikan EID.

Program penyelidikan EID diketuai oleh Dr. Ng. Siew Kit yang menjadi satu tujahan penyelidikan IPPT sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19 yang penuh dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan.

Program ini adalah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penyakit (Penyakit X) dengan mempercepatkan penyelidikan translasi untuk menyediakan penemuan, penyelesaian dan langkah pencegahan dalam menghadapi pandemik yang akan datang.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut menandatangani MoA dengan syarikat Codon Genomics Sdn. Bhd. untuk menyokong usaha saintifik yang berpusat pada data dalam rawatan kanser payudara translasi dan aplikasi dalam klinikal di IPPT dengan memanfaatkan ekosistem data kanser payudara komprehensif yang dibangunkan oleh Codon Genomics Sdn. Bhd.

Nanjing Vazyme Biotech Co. Ltd. diwakili oleh Ong Wei Ching dan Muhammad Faisal Ikhwan Othman manakala Vincent Tan Cheah Fook dan Kenneth Low Ann Shyun mewakili Biotek Abadi Sdn. Bhd. Codon Genomics Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Hoh Chee Choong serta Dr. Lee Wei Kang.

“Saya berharap persefahaman dan perjanjian yang dimeterai bersama universiti dan industri ini akan menghasilkan kerjasama yang membuahkan hasil kepada kedua-dua belah pihak,” kata Abdul Rahman.

Naib Canselor turut meluangkan masa melawat pameran dan demonstrasi yang disediakan oleh pihak Nanjing Vazyme Biotech Co. Ltd. dan Biotek Abadi Sdn. Bhd. di Auditorium Sains@Bertam.

Yang hadir sama menyaksikan penandatanganan MoU dan MoA ini ialah Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon, Dr. Ng Siew Kit dan Dr. Hasmah Hussin selaku koordinator IPPT yang terlibat dalam kolaborasi ini.

Teks: Naziroh Shafii & Mahirah Mahyidin/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 656

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024