USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUFTI NEGERI PULAU PINANG KONGSI ILMU TENTANG NEGARA MADANI: PERSPEKTIF ISLAM KE ARAH BALDATUN TOYYIBAH

USM PULAU PINANG, 27 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor (PNC) hari ini telah mengadakan Majlis Syarahan tentang Negara Madani yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd. Noor.

WhatsApp Image 2023 02 27 at 16.36.07 2

Sesi perkongsian ilmu berkenaan yang bertajuk Negara Madani: Perspektif Islam ke arah Baldatun Toyyibah, diadakan buat julung kalinya di USM, bermatlamat untuk membolehkan ketua-ketua jabatan untuk sama-sama memahami dengan lebih mendalam tentang konsep negara Madani yang mula diwar-warkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam amanatnya bertajuk Membangun Malaysia Madani pada 19 Januari 2023 lalu.

Dalam sesi perkongsian ilmu itu, Wan Salim menjelaskan bahawa dalam membangunkan Malaysia Madani dari sudut perspektif Islam ke arah sebuah negara bangsa yang makmur, maju, sejahtera dan dihormati, ia menekankan enam tonggak utama iaitu kerangka dasar Membangun Malaysia MADANI yang terdiri daripada ke(M)ampanan, kesej(A)hteraan, (D)aya cipta, horm(A)t, keyaki(N)an dan (I)hsan.

WhatsApp Image 2023 02 27 at 16.36.07

Wan Salim menerangkan bahawa masyarakat madani merupakan masyarakat yang berpegang kepada undang-undang yang mengikat tindak tanduk iaitu tiada seorang yang berhak memaksa orang lain untuk melakukan sesuatu yang tidak diingini.

“Dalam negara Madani juga terdapat masyarakat yang menjunjung tanggungjawab sosial mereka secara sukarela (tanpa paksaan) dengan wujudnya institusi pendidikan, kewangan, kesihatan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau juga menekankan bahawa perlunya kesamarataan untuk mencapai baldatun toyyibah, yang mana untuk mengecapi nikmat negara Madani perlu dipastikan ia tidak bercanggah dengan ajaran agama dan Al-Quran.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyeru semua ketua jabatan menghayati konsep negara Madani untuk membolehkan kita sama-sama melaksanakannya di kampus USM bagi merealisasikannya sesuai dengan citra USM sebagai sebuah universiti yang memacu kecemerlangan APEX, yang berteraskan kelestarian atau kemampanan yang menjadi salah satu prinsip negara Madani. 

WhatsApp Image 2023 02 27 at 16.36.07 3

“Saya yakin usaha ini selari dengan Malaysia Madani yang ingin membangunkan tamadun ilmu untuk melakukan perubahan berasaskan prinsip enam tonggak tersebut dan saya percaya perkongsian ilmu pada pagi ini membolehkan kita lebih memahaminya dan nantinya dimanfaatkan oleh universiti secara menyeluruh,” kata Abdul Rahman.

Selain dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan USM, hadir sama pada majlis adalah Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pengawai-pegawai utama universiti.

Sesi tersebut dijalankan secara hibrid iaitu secara bersemuka di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM dan juga secara dalam talian (Webex), supaya ia dapat juga diikuti oleh ketua-ketua jabatan dari kampus-kampus USM yang lain selain dari kampus induk. 

WhatsApp Image 2023 02 27 at 16.36.07 1

Wan Salim merupakan bekas pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, dan juga pernah dilantik menjadi ahli Lembaga Gabenor Universiti (2018-2020).

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 678

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024