USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR WACANA NEGARA MADANI

IMG 0290

USM PULAU PINANG, 27 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memulakan wacana ilmu untuk membincangkan pelbagai aspek berkaitan negara Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, majlis ilmu ini ialah untuk sama-sama memahami dengan lebih mendalam tentang konsep negara Madani yang mula diwar-warkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam amanat yang bertajuk Membangun Malaysia Madani pada 19 Januari 2023 lalu.

Beliau berucap di majlis Syarahan Negara Madani: Perspektif Islam ke arah Baldatun Toyyibah yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Majlis dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan dari keempat-empat kampus USM, sama ada secara bersemuka di Dewan Persidangan Universiti (DPU) ataupun secara dalam talian Webex.

"Tujuan utama wacana ini ialah untuk mengajak semua ketua jabatan menghayati konsep negara Madani ini untuk membolehkan kita bersama-sama melaksanakannya di kampus USM ini bagi merealisasikannya sesuai dengan citra USM sebuah universiti yang memacu kecemerlangan APEX yang berteraskan kelestarian atau kemampanan yang menjadi salah satu prinsip negara Madani. 

"APEX mempunyai sembilan teras iaitu keilmuan, masa hadapan, kelainan, kesejagatan, kemanusiaan, pengorbanan, perubahan, kesejahteraan dan kelestarian," kata Abdul Rahman.

Tambah beliau, dengan menggunakan sembilan teras tersebut, USM ingin mentransformasi pendidikan untuk kelestarian hari esok serta memanfaatkan konsep universiti perintis intensif penyelidikan merentas bidang, memperkasakan bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasikan sosio-ekonomi mereka.

"Saya sebutkan semua ini untuk mengingatkan kita tentang usaha USM sekarang dan masa hadapan dalam membantu masyarakat pada semua peringkat, sama ada warga universiti atau komuniti seluruhnya, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga secara global untuk mewujudkan kesejahteraan masa hadapan bersama," tegas Abdul Rahman.

Beliau yakin usaha ini selari dengan Malaysia Madani yang ingin membangunkan tamadun ilmu untuk melakukan perubahan berasaskan prinsip keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan yang pada akhirnya melihat bagaimana kita terjemahkan setiap satunya ke dalam tindakan yang boleh merealisasikannya pada semua peringkat.

"Saya percaya perkongsian ilmu ini membolehkan kita lebih memahaminya dan nantinya dimanfaatkan oleh universiti secara menyeluruh," kata Naib Canselor lagi.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 384

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024