USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SESI PERKONGSIAN KHAS ISU KAUNSELING DAN KESIHATAN MENTAL: CEGAH GANGGUAN MENTAL

USM PULAU PINANG, 25 Februari 2023 – Masalah kesihatan mental kian berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini di negara kita termasuk di institut pengajian tinggi negara.

377EEC77 3BC5 429D 9382 CFCFA4C75256

Masalah kesihatan mental tidak mengenal peringkat usia, jantina, jenis pekerjaan mahupun nama. Sesiapa pun boleh melaluinya.

Namun begitu, sebenarnya ia boleh dirawat dan jika disedari atau dikenal pasti awal, ia boleh dicegah dari berlaku.

Menyedari hakikat ini, sesi penerangan dan taklimat khas telah diadakan pada hari Sabtu, 18 Februari 2023 di Pusat Sejahtera USM melibatkan pemegang taruh masing-masing iaitu isu kaunseling oleh Unit Kaunseling Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dan isu kesihatan mental oleh Pusat Sejahtera USM.

Program ini dijalankan hasil kerjasama erat Majlis Penghuni Desasiswa USM, Unit Kaunseling BHEPA dan Pusat Sejahtera USM.

Sesi ini dikendalikan oleh Pegawai Psikologi Kanan, Ahmad Anwar Omar dari Unit Kaunseling BHEPA manakala Pusat Sejahtera diwakili oleh Dr. Sulosanah A/p Sinnasamy, dengan memberi fokus kepada barisan Pengurusan Majlis Penghuni Desasiswa dan Majlis Penggawa/Penolong Penggawa ketiga-tiga kampus sebagai frontliners dalam mengenal pasti pelajar yang ada masalah kesihatan mental dan memerlukan bantuan sokongan psikososial.

Sesi perkongsian yang dijalankan secara hibrid (bersemuka dan dalam talian) itu juga antara lain meliputi penerangan mengenai senario semasa isu kaunseling dan kesihatan mental di USM.

Panel juga mengupas aspek pengamalan yang bersepadu yang dijalankan di USM meliputi praktis GARIS PANDUAN PENGURUSAN KESIHATAN MENTAL DALAM KALANGAN PELAJAR (PGKM) serta kerjasama semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kes kesihatan mental.

Program itu disertai hampir 250 orang peserta melibatkan ketiga-tiga kampus.

Adalah amat penting untuk warga kampus khususnya pelajar untuk menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap penyakit mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik serta mengenal pasti gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi dan rawatan.

Sumber teks & foto: FB BHEPA USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 537

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024