MANTAN NC KE-8, MANTAN AHLI LGU DAN MANTAN TNC KPI DIRAIKAN DI MAJLIS SANJUNGAN BUDI
USM PULAU PINANG, 24 Februari 2023 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk kepimpinan tertinggi universiti kelmarin meraikan Mantan Naib Canselor (NC) USM yang ke-8, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Mantan Ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Hj. Ahmad Ibnihajar dan Mantan Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi (TNC KPI), Profesor Dr. Md Roslan Hashim di Majlis Sanjungan Budi sebagai tanda penghargaan menabur bakti di USM.
Pengerusi LGU, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua mantan tersebut atas segala jasa, khidmat bakti, iltizam dan dedikasi yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan di universiti tercinta ini.
Menurutnya, sesungguhnya jasa budi ketiga-tiga tokoh hebat ini kepada universiti akan sentiasa dikenang dan universiti amat mengharapkan mereka untuk terus membantu universiti mencapai kejayaan dan kecemerlangan pada masa hadapan.
Faisal Rafiq, 48, adalah seorang yang sangat berwawasan dalam mentadbir universiti dan mengurus kebajikan staf dan pelajar terutamanya yang berkategori B40. Beliau mula dilantik sebagai NC USM yang ke-8 pada 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022 dan sepanjang tempoh pelantikan tersebut, USM telah mencapai banyak kejayaan yang cemerlang.
“Saya menyeru agar warga USM untuk sentiasa bekerjasama dan terus berusaha sebagai satu pasukan untuk terus memacu kecemerlangan universiti ini,” pesan Faisal Rafiq.
Manakala Ahmad Ibnihajar yang merupakan anak jati Pulau Pinang telah dilantik sebagai Ahli LGU untuk kali kedua pada 14 Februari 2022 hingga 1 Februari 2023, berkata beliau akan terus berkhidmat dan berkongsi pengalaman serta pandangannya kepada USM pada bila-bila masa diperlukan.
Md Roslan pula yang dilantik menjadi TNC KPI USM yang pertama, telah meletakkan USM sebagai universiti memimpin kelestarian di kedudukan pertama di Malaysia dan kedudukan ke-4 di dunia dalam Times Higher Education Global Impact Ranking (THE-GIR) 2022.
Dalam ucapannya, Md Roslan menyeru seluruh warga kampus untuk terus memainkan peranan sewajarnya dalam memastikan USM terus menjadi peneraju dalam proses pembangunan masyarakat dan negara selain menjaga kualiti akademiknya.
Hadir sama pada majlis yang diadakan di Panggung Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni USM itu adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Ahli-ahli LGU; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti (JKPU) USM serta pegawai-pegawai utama universiti.
Seluruh warga USM mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Faisal Rafiq, Ahmad Ibnihajar dan Md Roslan, dan juga Setinggi-tinggi Tahniah kepada Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas lantikan sebagai NC USM yang ke-9 mulai 3 Januari yang lalu dan juga Profesor Dr. Azlan Amran atas lantikan sebagai TNC Jaringan Industri dan Masyarakat USM berkuatkuasa 1 Februari 2023 hingga 31 Januari 2026.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 611