USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAIH KUTIPAN ZAKAT LEBIH RM3 JUTA, MANFAATKAN 1,365 PELAJAR ASNAF

MELAKA, 25 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa mencatatkan peningkatan dalam kutipan zakat dan pada tahun 2022, sejumlah RM3,042,966.41 berjaya dikumpul melalui kutipan individu dan juga sumbangan korporat serta pihak luar yang berhajat.

WhatsApp Image 2023 02 25 at 15.03.57

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, 50 peratus daripada hasil kutipan berkenaan yang berjumlah RM1,521,483.20 telah dipulangkan semula oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada USM.

Katanya, daripada jumlah itu, USM telah mengagihkan semula sejumlah RM1,505,700 kepada 1,365 pelajar asnaf USM meliputi empat golongan asnaf pelajar yang dibenarkan termasuk fakir, miskin, fisabilillah dan muallaf.

WhatsApp Image 2023 02 25 at 15.03.55

“Kejayaan ini telah memberi manfaat yang besar kepada pihak yang memerlukan dan Pusat Islam USM boleh melihat kaedah terbaik yang boleh diperkasakan bagi meneruskan kejayaan ini di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau dalam ucapannya turut berharap agar Pusat Islam USM dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama pintar bersama ZPP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam mencari medium terbaik sebagai rakan strategik untuk maju ke hadapan.

Awang Adek berkata demikian ketika hadir merasmikan Bengkel Pendidikan dan Pelancaran Skim Asnaf Qurratu Ain@Pusat Islam USM di Imperial Heritage Hotel, di sini hari ini.

WhatsApp Image 2023 02 25 at 15.03.09

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAIK, Tuan Ameer Azeezy Tuan Abdullah; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman; dan pegawai-pegawai utama Universiti.

WhatsApp Image 2023 02 25 at 15.03.56

Selain berkongsikan kejayaan berkaitan kutipan zakat, Awang Adek turut melancarkan Skim Asnaf Qurratu Ain@Pusat Islam yang bertujuan memberi fokus kepada bantuan awal pendidikan kepada anak-anak staf dan anak qaryah Masjid al-Malik Khalid USM.

WhatsApp Image 2023 02 25 at 15.03.54

Melalui skim yang dikelolakan di bawah Sektor Pendidikan dan Kesejahteraan Keluarga serta Sektor Zakat Pusat Islam itu, anak-anak staf dan qaryah masjid akan diterapkan dengan pendidikan awal berkaitan hal-ehwal Islam melalui dana daripada Zakat@Pusat Islam USM.

Turut dilancarkan dalam majlis yang sama adalah Buku Rekod Pemerhatian Hadanah yang dibangunkan oleh Pusat Islam USM yang boleh dijadikan panduan dan rujukan oleh pihak lain dalam urusan hadanah, tadika dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA).

WhatsApp Image 2023 02 25 at 15.03.53

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 488

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024