BENGKEL KOMUNIKASI KELESTARIAN TARIK MINAT PELAJAR KOMUNIKASI MALAYSIA DAN THAILAND
USM, PULAU PINANG, 24 Februari 2023 – Selari dengan kepimpinan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai universiti lestari di kedudukan pertama di Malaysia dan kedudukan keempat di dunia dalam Times Higher Education (THE-GIR) 2022 Global Sustainability Rankings, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), USM yang turut mendepani bidang Komunikasi Kelestarian telah berjaya menganjurkan “International Academic Workshop on Sustainability Communication” dengan kerjasama Faculty of Communication Arts, Chulalongkorn University (Chula), Thailand kelmarin.
Bengkel yang memfokuskan kepada pendedahan tentang peranan penting Komunikasi Kelestarian khususnya dalam kempen berkenaan penggunaan plastik sekali guna ini telah disertai oleh seramai 40 orang peserta dalam kalangan pensyarah, pelajar dan staf pentadbiran dari PPK, USM dan Faculty of Communication Arts, Chula.
Antara aktiviti menarik yang telah berlangsung sepanjang bengkel ini adalah sesi perkongsian oleh tiga panel dari Malaysia dan Thailand, sesi perbincangan dalam kumpulan, lawatan sekitar kampus dan Pusat Kajian Kelestarian Global USM untuk pencarian maklumat bagi tugasan berkumpulan dan pembentangan pelajar mengenai idea pelaksanaan kempen berkenaan penggunaan plastik sekali guna kepada masyarakat.
Menurut Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPK USM, Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, bengkel Komunikasi Kelestarian yang melibatkan pelajar dari dua buah negara sebegini amat penting bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk bertukar perspektif dan pengalaman antara mereka memandangkan mereka semua adalah pelajar komunikasi yang memainkan peranan besar dalam mengkomunikasikan isu kelestarian dalam dan luar universiti.
“Pasca Pandemik COVID-19 telah membolehkan pelajar dan pensyarah dari Malaysia dan Thailand berkumpul dalam satu bengkel berbentuk fizikal sebegini yang jelas amat bermanfaat untuk pendidikan berkenaan Komunikasi Kelestarian yang selari dengan matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030,” tambah Dr. Mohamad Saifudin yang juga merupakan pengelola utama bengkel ini.
Tambahnya lagi, beliau mewakili pihak PPK USM merakamkan jutaan terima kasih kepada para peserta khususnya delegasi dari Faculty of Communication Arts, Chula yang sudi hadir ke PPK USM untuk menyertai bengkel ini.
Sementara itu, salah seorang pensyarah dari Faculty of Communication Arts, Chula, Assistant Prof. Dr. Teerada Chongkolrattanaporn turut menyatakan rasa gembira dan keterujaan beliau dalam menyertai bengkel ini kerana menganggap bengkel sebegini sebagai satu peluang yang baik untuk para pelajar menimba pengetahuan dan memanfaatkan cara yang inovatif dalam mengkomunikasi kelestarian dengan menggunakan pelbagai perspektif yang berbeza dan unik.
“Saya berharap kerjasama yang baik antara PPK USM dan Faculty of Communication Arts, Chula akan terus berlangsung dengan baik pada masa akan datang”, ujarnya.
Pelajar tahun dua PPK USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman yang merupakan salah seorang peserta bengkel Komunikasi Kelestarian ini menyifatkan bengkel sebegini sebagai satu platform yang penting untuk beliau dan rakan-rakan.
“Saya dan rakan-rakan telah dapat mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam mengenai penggunaan medium seperti media sosial untuk Komunikasi Kelestarian yang berkesan dan bersesuaian bagi khalayak di Malaysia dan luar negara”, katanya.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah & Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh
Foto : Dzulfikar Azmi
- Created on .
- Hits: 514