SOM-PDC RAIKAN 33 GRADUAN PROGRAM PENSIJILAN PROFESIONAL
USM PULAU PINANG, 22 Februari 2023 – Pusat Pengajian Pengurusan (SOM) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menganjurkan Majlis Konvokesyen Program Executive Master in Professional Management untuk para graduan program tersebut hari ini, di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM.
Mereka terdiri daripada 33 graduan dari golongan kakitangan PDC yang mana pihak pengurusan PDC memberi pendedahan dengan membekalkan peluang menjalani kursus atau program akademik secara profesional untuk menambahkan ilmu, meningkatkan tahap kefahaman, kompetensi serta mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah dipelajari dalam melaksanakan tugasan harian.
Program Executive Master in Professional Management merupakan sebuah program sijil profesional yang diiktiraf oleh USM.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dalam ucapannya berkata, Majlis Konvokesyen ini merupakan sejarah baharu yang terukir dalam diari PDC sebagai satu kejayaan Program Pelan Pembangunan Bakat (Talent Development Plan) yang direka khas, dirancang dengan teliti dan dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021.
“Program ini yang julung kali diadakan dengan rakan strategik PDC iaitu SOM USM, merupakan platform terbaik dalam membentuk pegawai yang Profesional, Dedikasi dan Cemerlang yang menjadi tonggak Nilai Teras (Core Value) yang diamalkan di PDC,” katanya.
Sementara itu, Dekan SOM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad dalam ucapan aluannya berkata, beliau amat berbesar hati kerana kerjasama bersama PDC dapat direalisasikan dalam majlis itu dan secara rasminya para graduan telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar SOM.
“Pihak SOM sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik seumpama ini kerana hasrat universiti adalah untuk kita bersama-sama dalam usaha peningkatan kemahiran bakat-bakat khususnya di Pulau Pinang dan saya berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Noor Hazlina.
Turut hadir di majlis adalah Mantan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Mohd Bazid Abd Kahar, pegawai-pegawai utama universiti dan PDC serta para pensyarah SOM USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 631