USM, KAMARISZ MEDICARE METERAI MoA PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN PERUBATAN ESTETIK
BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 21 Februari 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) hari ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Kamarisz Medicare Sdn. Bhd. bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan perubatan estetik.
Kerjasama antara ABrC dengan Kamarisz Medicare Sdn. Bhd. ini melibatkan penyelidikan dalam industri estetik dan ‘wellness’ yang berkaitan Optimization of Anti-hyperpigmentation Polysaccharide from Azadirachta Indica (Neem) Leaves using Microwave-Assisted Extraction.
Majlis penandatanganan itu disempurnakan oleh Pengarah ABrC, Profesor Dr. Zafarina Zainuddin bersama Pengarah 2, Kamarisz Medicare Sdn. Bhd., Datin Dr. Suhaila Sujani disaksikan oleh Ketua Projek kerjasama USM dan Kamarisz Medicare Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Hakimin Shafie bersama Pengarah 1, Kamarisz Medicare Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Zahir Husain Kamari.
Menurut Zafarina, MoA ini merupakan satu mekanisma untuk merapatkan jurang pengetahuan antara ahli akademik dengan pihak industri yang mana seperti yang kita sedia maklum, peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 memerlukan pelbagai pemboleh daya untuk menjayakan transformasi tersebut.
“Melalui kerjasama ini, dijangkakan akan menjadi pemangkin kepada kerjasama antara ahli akademik di dalam penyelidikan, perkongsian fasiliti serta pertukaran kepakaran bersama pihak industri,” katanya.
Sementara itu, Suhaila berkata kerjasama ini adalah yang pertama di antara Kamarisz Medicare Sdn. Bhd. dan USM untuk menghasilkan produk kecantikan dan kosmetik dengan keupayaan pihak pengilang MM Cosmetic Sdn. Bhd.
Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Pengarah ABrC, Profesor Madya Dr. Gan Chee Yuen; Ketua Pegawai Eksekutif MM Cosmetic Sdn. Bhd., Shiny Lim serta pegawai-pegawai utama universiti, Kamarisz Medicare Sdn. Bhd. dan MM Cosmetic Sdn. Bhd.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 796