KOLABORASI USM-MPOFCF GUNA BURUNG BANTU PEKEBUN KELAPA SAWIT
USM PULAU PINANG, 21 Februari 2023 - Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) atau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan bekerjasama untuk memperluaskan penggunaan burung pungguk jelapang atau burung hantu sebagai kaedah kawalan biologi dalam kalangan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit.
Di bawah Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun-pekebun Kecil atau BOSI, MPOGCF akan membiayai kos pembinaan sarang burung hantu di beberapa kebun sawit yang diusahakan pekebun-pekebun kecil.
Bagi merealisasikan BOSI, satu perjumpaan dan perbincangan lanjut antara MPOGCF dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Dr. Hasber Salim dan Profesor Kehormat Abu Hassan Ahmad daripada Bawl Owl Research Group (BORG) telah diadakan di Kampus Induk USM di Pulau Pinang baru-baru ini.
MPOGCF diketuai Pengurus Konservasinya, Encik Ahmad Shahdan bin Kassim dan turut disertai Eksekutif Konservasi, Encik Muhd Syafiq bin Mat Nazari.
Kaedah kawalan biologi menggunakan burung pungguk jelapang atau burung hantu untuk mengawal populasi tikus telah dipratik secara meluas di ladang-ladang sawit milik syarikat-syarikat perladangan besar, namun amalan pertanian baik (GAP) ini tidak diperluaskan kepada pekebun-pekebun kecil.
Justeru, kerjasama MPOGCF dan BORG diharap dapat membantu pekebun-pekebun kecil mengguna kaedah ini kerana lebih selamat kepada manusia serta alam sekitar dan sekaligus dapat mengurangkan penggunaan racun tikus.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Pusat Pengajian Sains Kajihayat
- Created on .
- Hits: 526