USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKU COVID-19: SUMBER RUJUKAN PADA MASYARAKAT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Februari 2023 – Pandemik COVID-19 telah lebih tiga tahun melanda dunia hingga mengubah norma kehidupan dalam semua aspek.

Pelbagai informasi dan kajian mengenai koronavirus dan penyakit COVID-19 telah dijalankan namun masih banyak lagi bidang ilmu yang perlu diterokai dan dikenal pasti.

Justeru itu, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) menerbitkan buku bertajuk “COVID-19: Impak Kesihatan dan Norma Baharu Kehidupan”.

IMG 20230130 WA0058

IMG 20230130 WA0057

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, berkata, penerbitan buku tersebut bertujuan untuk menyampaikan informasi sahih hasil nukilan daripada pakar bidang yang berkenaan dan sesuai dijadikan bahan bacaan oleh semua lapisan masyarakat.

“Penerbitan buku ini merupakan idea daripada barisan editor dan ahli jawatankuasa Laman Sesawang Sumber Informasi Perubatan COVID-19 (SIPC) yang telah dilancarkan pada Julai 2020.

IMG 20230130 WA0056

“Laman sesawang SIPC berperanan sebagai tempat pengumpulan maklumat kesihatan daripada segenap aspek berkenaan COVID-19 bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada orang ramai dan petugas kesihatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Buku COVID-19, pada 30 Januari 2023.

Tambah Shaharum, projek penulisan buku ini merupakan satu pencapaian luar biasa kerana berjaya menghasilkan bacaan ilmiah berkualiti dalam masa yang singkat.

“Ini kerana para penulis juga merupakan pakar-pakar perubatan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan, saringan dan rawatan penyakit COVID-19 selain turut berkhidmat sebagai pendidik atau penyelidik dalam bidang masing-masing.

IMG 20230130 WA0059

“USM juga turut berbangga dan sangat menggalakkan para pensyarah untuk terlibat terutamanya dalam penerbitan buku–buku separa ilmiah bagi manfaat umum,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, PPSP, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Pengarah Perubatan Hospital KPJ Perdana, Dr. Mohamad Hamzah dan para editor Buku COVID-19.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 439

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024