AGIHAN PERANTI SISWA DITERUSKAN; BANTU PEMBELAJARAN PELAJAR IPT KATEGORI B40
USM PULAU PINANG, 18 Februari 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini meluangkan masa turun padang dan beramah mesra dengan para pelajar USM yang merupakan penerima peranti bersempena Majlis Pengagihan Peranti Siswa di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.
Seramai 835 penerima peranti dari keluarga berkategori B40 dari 128 Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta di Pulau Pinang mendapat sebuah tablet yang berjenama, papan kekunci dan pen, dan daripada jumlah tersebut, seramai 43 orang adalah pelajar USM.
Pesan Abdul Rahman kepada para penerima ketika lawatannya adalah agar mereka memanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin dan menjaga peranti tersebut dengan baik untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
"Sumbangan ini diberikan dengan tujuan untuk membantu melancarkan proses pembelajaran mahasiswa IPT dan seterusnya membentuk komuniti digital serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok," katanya.
Pengagihan Peranti Siswa di USM diadakan secara berperingkat dan difasilitasi oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), yang mana agihan ini merupakan agihan fasa kelima (17 hingga 19 Februari 2023) dan yang terakhir kepada pelajar yang layak.
Turut diselitkan dalam majlis penyampaian tersebut adalah penandatanganan plak Foodbank@HEPA oleh Naib Canselor USM.
Hadir sama adalah pegawai-pegawai utama USM dan Yang Dipertua MPP USM, Afirul Idris Ayub Khan.
Seramai 7,033 mahasiswa USM (Kampus Induk ~ 5,303, Kampus Kejuruteraan ~ 1,016, Kampus Kesihatan ~ 714) telah dikenal pasti untuk menerima peranti secara berperingkat menerusi Program Peranti Siswa.
Program Peranti Siswa merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk membantu proses pembelajaran mahasiswa IPT yang berada dalam kelompok B40.
Sesuai dengan era teknologi hari ini, kerajaan Malaysia tidak mahu pelajar universiti Malaysia jauh ketinggalan dengan ledakan teknologi hari ini, dan pada masa yang sama, kerajaan membantu kos untuk pelajar memilikinya.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 697