USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MRFOODBANK@HEPA MAIDATURRAHMAN UNTUK DINIKMATI OLEH SEMUA LAPISAN PELAJAR USM

USM PULAU PINANG, 13 Februari 2023 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlinda Azman hari ini mewakili Naib Canselor merasmikan pelancaran MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman yang telah diadakan di Bangunan H20, Kompleks Cahaya Siswa USM.

WhatsApp Image 2023 02 14 at 13.18.39

MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman merupakan satu inisiatif hasil usahasama antara Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pusat Islam yang menyasarkan kepada pelajar B40.

Inisiatif ini telah bermula sejak seminggu yang lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar. Para penyumbang yang berminat juga boleh memberi sumbangan terus melalui QR code yang disediakan di MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman ini.

Azlinda dalam ucapan perasmiannya mengucapkan terima kasih kepada Pusat Islam atas kerjasama mereka bagi memastikan program ini berjalan lancar.

“Berdasarkan perbincangan bersama Pusat Islam, maka Bangunan H20 BHEPA dipilih sebagai tempat pengumpulan dan pengagihan sumbangan atas sebab lebih mudah diakses oleh pelajar USM,” ujar Azlinda.

“Kita akan menggiatkan lagi usaha untuk menambah bilangan foodbank di USM. Kita juga amat menggalakkan penglibatan di peringkat Penggawa dan Majlis Penghuni Desasiswa untuk turut bersama-sama berganding bahu dalam usaha murni ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang telah menjadi tulang belakang BHEPA dan Pusat Islam untuk memastikan pelajar yang berkeperluan dapat menikmati bantuan ini,” katanya.

WhatsApp Image 2023 02 14 at 13.18.37

Di akhir ucapannya, Azlinda menyeru agar pelajar menyebarkan berita mengenai bantuan ini kepada rakan-rakan mereka agar MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman dapat dinikmati oleh semua peringkat pelajar tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Beberapa pelajar yang ditemui pada majlis perasmian ini turut menzahirkan kesyukuran mereka dengan bantuan yang disediakan.

“Saya amat berterima kasih kepada Pusat Islam dan para dermawan yang memberikan bantuan makanan sebegini untuk pelajar yang memerlukan dan meringankan beban pelajar,” kata pelajar tahun satu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Ryenaath A/L Ganesan.

“FoodBank ini bukan saja membantu pelajar susah, tetapi juga dapat membantu mengisi perut pelajar yang tidak pulang ke kampung tetapi tidak dapat membeli makanan di kafe kerana tutup,” kata pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Siti Nurliana Samining.

“Kebiasaannya pada penghujung semester, ramai pelajar hampir kehabisan wang belanja. Rata-rata menyuarakan masalah kewangan di media sosial dan berkongsi nombor akaun kerana terdesak. Dengan adanya MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman ini, dapat menyelesaikan isu ini,” kata pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Sains Matematik, Ain Syazwani Sulaiman.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP USM, Afirul Idris Ayub Khan berkongsi perasaan gembira beliau atas sambutan yang diterima untuk MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman ini.

“Saya mewakili MPP USM memahami isu utama pelajar iaitu sara hidup dan keperluan harian yang kurang terjaga. Daripada situ timbulnya inisiatif untuk mewujudkan MRFoodBank@HEPA Maidaturrahman bagi membantu pelajar yang memerlukan,” kata Afirul.

Tambah Afirul lagi, pelajar juga boleh terus datang ke bilik gerakan MPP di tingkat 1, Bangunan H21 yang mempunyai akses 24 jam untuk mendapatkan bekalan makanan.

WhatsApp Image 2023 02 14 at 13.18.34

Pada masa yang sama juga, TNC HEPA turut menyampaikan sumbangan berupa telekung dan kain pelikat yang disumbangkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pelajar B40 dan pelajar kurang upaya.

Hadir sama pada perasmian tersebut adalah Timbalan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zayd Zhari; Timbalan Pendaftar BHEPA, Jelfariny Mohd Jelahni; Penolong Bendahari Kanan, Ts. Dr. Hazrieffendy Bakri; Penolong Pendaftar Kanan BHEPA, Cik Sheilawanis Abdul Karim dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 592

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024