USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR TINJAU PRESTASI FIZIKAL DAN KEWANGAN PROJEK PEMBANGUNAN KAMPUS KESIHATAN, USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Februari 2023 – "Projek pembangunan perlu dipantau secara berkala dan sistematik supaya setiap satunya terlaksana mengikut jadual serta 100 peratus (%) menepati spesifikasi perancangan asal", demikian antara intipati pesanan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sewaktu meninjau prestasi fizikal dan kewangan projek pembangunan di Kampus Kesihatan pada Rabu lalu. 

B6F1AA44 A68F 45A3 B869 827839FA2A84

Rahman dalam rangka lawatan kerja ke Kampus Kesihatan telah diberi taklimat berkenaan perkembangan beberapa projek dalam fasa pembinaan di bawah RMK 11 dan 12 oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin serta pasukan pengurusan projek Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA).

Antara projek yang sedang berjalan ialah ubah suai ruang Jabatan Kecemasan lama, tingkat 7 bangunan wad Hospital USM dan dewan-dewan bedah bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rawatan perubatan serta pembinaan ram bagi mematuhi piawaian keselamatan. 

Projek lain yang sedang dibangunkan ialah pembinaan tangki menara dan rumah pam air baharu untuk meningkatkan kapasiti penyediaan bekalan air bersih serta menyediakan ruang rehat (lounge) di tingkat 8 bangunan wad Hospital USM untuk kegunaan doktor serta pasukan petugas kesihatan "tunggu sedia" (on-call).

Kesemua projek berkenaan bakal memberi manfaat langsung kepada warga kampus dan secara tidak langsung kesan positif akan turut dirasai oleh pelanggan Kampus Kesihatan khususnya pesakit yang menjalani rawatan di Hospital USM.

Oleh yang demikian, Rahman menyeru pengurusan USM memantau rapi pelaksanaan projek dan segera menguruskan dengan agensi terlibat sekiranya timbul sebarang isu supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan manfaat maksimum.

Semasa tinjauan yang sama, Rahman turut mengumumkan komitmen universiti untuk memastikan kemaslahatan para pelajar selaku pihak berkepentingan utama tidak diabaikan dalam sebarang agenda pembangunan USM.

475639F6 F52E 4DCF 8E77 274BE2811993

Sehubungan itu, pengurusan universiti dari masa ke semasa akan memperhalusi serta meluluskan pelan pembangunan yang berkait dengan keselamatan, kesejahteraan serta fasiliti sokongan pengajaran dan pembelajaran untuk manfaat pelajar.

Turut sama dalam tinjauan berkenaan ialah Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) Kampus Kesihatan, Engku Nazli Engku Mohd Ariffin dan Jurutera Projek, Rozilah Hamzah.

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 462

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024