USM PASANG SISTEM SOLAR: INISIATIF KURANGKAN PENCEMARAN KARBON DIOKSIDA DAN PERKASA KONSEP KAMPUS LESTARI
NIBONG TEBAL, 8 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan inisiatif menggunakan tenaga solar bagi menjana tenaga elektrik yang lebih lestari melalui pemasangan sistem solar panel photovoltaic (PV) di Kampus Kejuruteraan dengan kapasiti maksimum 4.3 MWp (Mega Watt Peak).
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, dengan pemasangan sistem solar itu, Kampus Kejuruteraan USM dijangka dapat mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida (CO2) sehingga 97,000 tan metrik bagi tempoh 25 tahun yang akan datang.
Selain itu katanya, projek yang menelan belanja sebanyak RM14 juta melalui kaedah Pelawaan Memberikan Cadangan (RFP) ini turut dapat menampung sehingga 45% penggunaan tenaga tahunan daripada tenaga boleh baharu berkenaan.
“Hasil daripada penjanaan tenaga solar itu juga, Kampus Kejuruteraan USM dijangka dapat menjimatkan sehingga 30% bil utiliti TNB. Selain itu, tenaga elektrik yang dijana melalui solar PV ini boleh mencapai sehingga 75% beban maksimum pada satu-satu masa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Projek Penjanaan Tenaga Boleh Baharu Melalui Pemasangan Sistem Solar PV Kampus Kejuruteraan USM, di sini hari ini.
Beliau juga berkata, Kampus Kejuruteraan secara tidak langsung juga akan dapat menjayakan salah satu konsep kampus lestari yang menjadi matlamat utama USM iaitu Sustainability@USM dengan menggunakan tenaga boleh baharu.
“Projek yang dilaksanakan melalui kaedah Pelawaan Memberikan Cadangan (Request For Proposal, RFP) telah dimulakan pada 10 Jun 2022 dan telah siap sepenuhnya pada 19 Disember 2022,” ujarnya.
Tambah beliau, Tenaga boleh baharu adalah tenaga yang dihasilkan dari pelbagai sumber yang boleh dijana semula seperti tenaga solar, angin, ombak, tenaga hidro, biogas dan biojisim.
”Seperti yang kita ketahui, tenaga solar atau tenaga matahari merupakan tenaga yang paling bersih dan sumber tenaga yang paling banyak dan mudah didapati, dan dihasilkan dengan menggunakan panel photovoltaic (PV) untuk ditukar kepada tenaga elektrik,” katanya.
Justeru jelasnya, dengan segala manfaat yang ada, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) melalui Kontraktor Utama, Sunway Engineering Sdn. Bhd., telah melaksanakan inisiatif pemasangan sistem solar PV di Kampus Kejuruteraan berkenaan.
Projek ini merupakan projek yang julung kali dilaksanakan di USM dan yang pertama seumpama itu dalam kalangan Universiti Awam (UA) di Pulau Pinang, melibatkan pemasangan sistem solar PV di 19 lokasi premis yang telah dikenal pasti di seluruh Kampus Kejuruteraan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengarah Urusan Kumpulan, Sunway Construction Group Berhad, Liew Kok Wing; Penolong Pengurus Besar – Tenaga Lestari, Sunway Engineering Sdn. Bhd., Foong Jin Xiang; dan Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Kampus Kejuruteraan, Ismail@kamalshani Osman.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 651