KKDS@PTPM MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP LESTARI
USM PULAU PINANG, 9 Februari 2023 - KKDS Fun-WRaP (Fun-Walk, Run, and Plog) merupakan aktiviti riadah sambil mengutip sampah yang dilaksanakan sebagai strategi memupuk nilai murni dalam kalangan warga keluarga Pusat Teknologi Pembelajaran dan Multimedia (PTPM) dari aspek penjagaan kesihatan diri dan pada masa yang sama menyantuni alam sekitar kampus.
Menurut Ketua Penolong Pendaftarnya, Muazzah Ismail, aktiviti beriadah sambil menikmati udara kampus yang segar serta kehijauan alam semula jadi amatlah baik untuk warga USM.
“USM yang turut terkenal dengan jolokan konsep Universiti di dalam Taman bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, malah sebagai mekanisme dalam penjagaan kesihatan serta menyihatkan minda setelah seharian bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, matlamat utama aktiviti KKDS Fun-WRaP ini adalah untuk membudayakan gaya hidup lestari selari dengan Agenda 2030 bagi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Program ini juga bertujuan mendidik warga keluarga PTPM supaya menjaga kesihatan diri, melakukan aktiviti sosial yang memberikan manfaat serta mendidik semua agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya lagi.
Program ini melibatkan hampir 20 orang ahli KKDS dari pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, pentadbiran, penerbit rancangan dan teknikal.
Teks Asal: Muazzah Ismail/Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: PTPM USM
- Created on .
- Hits: 603