USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM DIPILIH MENGIKUTI PROGRAM FELO PERDANA; FATIMATUZZAHRA BERSEDIA UNTUK MENYUMBANG KEPADA NEGARA

PULAU PINANG, 8 Februari 2023 – Pelajar tahun empat, Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Fatimatuzzahra Abdul Rohi, 24, telah mengikuti program Felo Perdana bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan jayanya selama enam bulan di bawah bimbingan Menterinya, YB Tan Sri Annuar Musa.

02FB9813 11A6 4D8E BEE1 C0B69FA468A1

Menurut Fatimatuzzahra menerusi temu bual melalui e-mel, dia membuat permohonan secara online melalui laman web rasmi, dengan menulis esei dan menjawab soalan Psikometrik, dan melalui sesi temu duga secara maya.

“Pihak Sekretariat Felo membuat pemakluman melalui e-mel yang didaftar dalam sistem MyFelo kepada peserta yang disenarai pendek dan berjaya di peringkat akhir,” katanya.

Fatimatuzzahra yang kini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, dengan pengkhususan Komunikasi Pemujukan (Persuasive Communication) berkata, tiada kemahiran tertentu yang diperlukan untuk menyertai program ini akan tetapi, keperluan asas adalah kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, pengurusan masa yang baik dan bijak menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

39B7678B 2988 4BD1 BBEC DFDD784AF4C7

“Perjalanan saya dalam menjalankan tugas di Felo Perdana tidaklah semuanya indah belaka, ada masa saya hampir putus asa kerana untuk menghadapi masyarakat sekeliling itu bukanlah mudah dan ianya amat mencabar,” katanya.

Jelas Fatimatuzzahra, tugas rutinnya berkait rapat dengan jadual YB Menteri, iaitu dengan mengikuti dan membuat pemerhatian dan mendokumentasikan segala pergerakan Menteri ke mesyuarat, program, acara rasmi ataupun kerja-kerja lain yang berkaitan.

D818E960 49A9 4FEA 94B5 0F45A7C1762F

Berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman baru, Fatimatuzzahra berasa amat bersyukur dan berkongsi tentang tugas khasnya sebagai Felo, yang mana dia perlu melakukan analisis isu dan masalah harian yang berlaku yang berkaitan dengan skop komunikasi.

“Saya perlu melihat segala komen, kecaman atau cadangan yang dikongsikan di media sosial dari masa ke semasa, dan membuat laporan aktiviti yang dijalankan sepanjang bertugas di pejabat YB Menteri.”

E29122CB AF91 47D1 8DDC DAA5D482E082

Apabila ditanya akan harapannya setelah menamatkan program, Fatimatuzzahra berkata dia berharap agar program tersebut dapat membuka ruang dan peluang kepadanya untuk terus memajukan diri dalam bidang politik dan dunia korporat, yang mana dia telah berusaha untuk menggunakan peluang ini untuk menimba segala ilmu dan pengalaman daripada kedua-dua menteri yang ditugaskan kepadanya, iaitu YB Tan Sri Annuar Musa dan kemudiannya Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

“Saya telah bersama terlibat dengan program ini selama 6 bulan (berakhir 31 Disember 2022) dan kedua-dua menteri banyak memberi tunjuk ajar dan contoh yang baik kepada saya, dan saya juga telah bersedia untuk menyahut cabaran dan mempelajari selok-belok tugas pemimpin negara di bawah bimbingan YB Menteri dan bersedia untuk berkhidmat untuk negara,” katanya.

Program Felo Perdana merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk melatih golongan belia yang berpotensi sebagai 'Duta Muda Kerajaan' dan melibatkan mereka secara langsung dalam penggubalan dasar kerajaan.

Ia terbuka kepada anak muda di bawah 30 tahun dalam mana-mana bidang yang mempunyai keputusan akademik yang baik dan mampu menunjukkan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran kepimpinan yang baik.

E29DA0A0 A4D1 4AA9 AE1D CFEFE8AAAC23

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Fatimatuzzahra Abdul Rohi

  • Created on .
  • Hits: 1103

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024