USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA LAWATAN PENANDA ARAS DARI UTM

LAWATAN PENANDA ARAS UTM KE USM SOFTCOPY 1

USM PULAU PINANG, 7 Februari 2023 – Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Jabatan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima lawatan penanda aras dari delegasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Delegasi UTM seramai 22 orang yang terdiri daripada staf pengurusan dan pentadbiran diketuai oleh Timbalan Pendaftar, BPA UTM, Mohd. Zaires Md Daris.

Tujuan lawatan tersebut adalah untuk membolehkan pihak pengurusan UTM mempelajari dengan lebih mendalam mengenai amalan terbaik (best practices) pengurusan akademik serta pengurusan dan pelaksanaan Upacara Konvokesyen USM dalam usaha menambah baik proses kerja dan pentadbiran UTM.

Timbalan Pendaftar Kanan, BPA USM, Tuan Haji Ramli Osman yang mempengerusikan sesi perjumpaan bersama UTM itu amat mengalu-alukan kedatangan delegasi UTM dan menghargai usaha murni mereka.

Beliau memberikan penerangan mengenai struktur organisasi BPA dan proses pengijazahan yang menjadi amalan USM.

Kini, terdapat 24 sistem yang telah dibangunkan dan sedang digunakan oleh BPA USM iaitu 4 sistem untuk Unit Senat, 15 sistem untuk Unit Pengambilan Pelajar, 1 sistem untuk Unit Rekod Pelajar dan 4 sistem untuk Unit Peperiksaan & Pengijazahan.

USM mengambil inisiatif membangunkan sistem ini untuk menyahut agenda pendigitalan yang telah digariskan oleh kerajaan.

Selain itu, Ramli turut berkongsi mengenai pengurusan Upacara Konvokesyen USM kepada delegasi UTM.

Beberapa perkongsian berkaitan pengurusan sijil dan transkrip graduan, pengurusan data graduan, GIC atau ‘Graduation-in-Council’ iaitu polisi penyerahan skrol ijazah dan transkrip akademik kepada bakal graduan selepas kelulusan pengijazahan oleh Senat tanpa perlu menunggu berlangsungnya upacara konvokesyen, sistem Blockchain dan pengurusan sumber manusia turut disampaikan oleh pegawai-pegawai utama USM yang lain.

Delegasi juga telah dibawa melawat ke Bilik Jubah Konvokesyen dan persekitaran Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) yang merupakan lokasi untuk Upacara Konvokesyen USM.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa & BPA USM

  • Created on .
  • Hits: 430

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024