USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH USM JAYAKAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT BERSIHKAN PANTAI PULAU GAZUMBO

GAMBAR PROGRAM PULAU GAZUMBO

PULAU PINANG, 2 Februari 2023 – Sekumpulan pelajar Studio Perancangan Tahun 3 Program Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA Pulau Pinang), Penang Youth Development Corporation (PYDC) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjayakan Program Gotong-Royong Pembersihan Pinggir Pantai di Pulau Gazumbo, Pulau Pinang, pada 21 Januari lepas.

Aktiviti tersebut yang merupakan projek khidmat masyarakat USR (University Service Responsibility) melibatkan seramai 25 pelajar dan beberapa orang sukarelawan, dan diketuai oleh Pengarah Projek, Muhammad Adib Mat Zin.

Menurut Muhammad Adib, pelajar-pelajar bukan sahaja memfokuskan pada kemahiran kognitif dan pemikiran kritis tetapi juga inisiatif tanggungjawab sosial pada masyarakat dan persekitaran yang dapat membudayakan siswazah dalam pembentukan sahsiah diri berkualiti.

Katanya, selain itu, mereka juga berpeluang menjalin dan mewujudkan kerjasama dengan pihak berkepentingan serta meningkatkan semangat gotong-royong dan kerja berpasukan.

GAMBAR AKTIVITI PULAU GAZUMBO 3

Program pembersihan pantai itu turut mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada Mohd Faruk Abdul Rahman selaku Ahli Majlis MBPP; Malik Faisal Abdul Rahim, Yang Dipertua PERDASAMA Pulau Pinang; dan Muhammad Afiq Mohd Razak selaku Eksekutif Program daripada PYDC.

Antara bentuk sokongan yang diperoleh adalah dari segi keselamatan sukarelawan, penyediaan bot sukarelawan dan bot mengangkut sampah dari Pulau Gazumbo, kelengkapan peralatan untuk pembersihan, makanan serta t-shirt untuk sukarelawan.

Kursus Studio Perancangan Tahun 3 dikendalikan oleh Dr. Mohd Ismail Isa dan Dr. Suraiyati Rahman yang menerapkan pendekatan holistik dalam perancangan strategik dari segi fizikal, ekonomi, sosial dan persekitaran.

Tambah Muhammad Adib, kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak yang terlibat dalam program ini amatlah dihargai dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

GAMBAR AKTIVITI PULAU GAZUMBO 1

“Kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem dalam mewujudkan imej persekitaran pinggir pantai yang bersih adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Pulau Gazumbo adalah pulau buatan yang terhasil daripada lebihan tanah semasa pembinaan Jambatan Pulau Pinang. Pulau kecil itu dapat dilihat oleh pengguna laluan Jambatan Pulau Pinang kerana lokasinya berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang.

Teks asal dan Foto: Muhammad Adib Mat Zain/Suntingan: Tan Ewe Hoe 

#URP@USM #HBP #USM #PERDASAMA #PYDC #MBPP #PULAUGAZUMBO

  • Created on .
  • Hits: 846

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024