USM ANTARA PENERIMA SUMBANGAN YCU UNTUK BANTU GOLONGAN B40
PULAU PINANG, 6 Februari 2023 - Di penghujung tahun lalu telah berlangsung Majlis Makan Malam Amal Yayasan Canselor UNITEN (YCU) 2022 di Pulau Pinang.
Majlis Makan Malam Amal YCU 2022 ini telah diadakan di SPICE Convention Centre, Pulau Pinang dan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak.
Dalam Majlis makan malam yang diadakan ini, Yayasan Canselor UNITEN (YCU) telah menjana dana endowmen untuk membantu pelajar-pelajar universiti yang dibawah kategori B40 yang memerlukan untuk menampung kos pembelajaran.
Dalam majlis ini, TYT Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi yang juga merupakan Canselor UNITEN telah menyerahkan sumbangan daripada YCU dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00 kepada mahasiswa daripada tujuh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Daripada tujuh IPT tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan salah satu daripadanya. Turut menerima sumbangan adalah UNITEN, UM, UKM, UTM, UPM dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.
Menurut Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Afirul Idris Bin Ayub, Semoga dengan penerimaan sumbangan daripada YCU ini dapat membantu pelajar daripada golongan B40 di USM.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada pihak Yayasan Canselor UNITEN atas inisiatif ini. Semoga program sebegini dapat digiatkan dengan lebih aktif demi kemaslahatan mahasiswa,” tambahnya melalui muatnaik status di laman media sosialnya.
Menerima sumbangan bagi pihak USM ketika waktu tersebut adalah Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Gs. Dr. Narimah Samat.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Afirul Idris Bin Ayub
- Created on .
- Hits: 453