USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, AL KAUTHAR EDUQIDS METERAI MoU TINGKATKAN SINERGI PEMBANGUNAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Al Kauthar Eduqids (AKE) Sdn. Bhd. untuk meningkatkan sinergi dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak terutama kanak-kanak istimewa. 

Majlis penandatanganan MoU tersebut disempurnakan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin yang mewakili Naib Canselor USM; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Timbalan Dekan Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) bagi pihak USM, manakala AKE pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Kapten Dr. Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi, Datin Dr. Nor Fadilah Alias.

Kerjasama strategik tersebut dijangka memberi manfaat kepada ramai kanak-kanak hasil pertukaran pengetahuan, latihan berorientasikan perkhidmatan dan forum awam selain memberi manfaat besar kepada masyarakat terutamanya ibu bapa muda dan anak-anak kecil demi masa depan negara.

Menurut Shaharum, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2016, kira-kira 3.3 peratus (%) daripada kanak-kanak di negara ini mempunyai masalah dalam perkembangan mereka dan lebih separuh daripada angka tersebut disebabkan oleh kelewatan pertuturan. 

“Punca lain pula termasuklah masalah perkembangan sosial dan kelewatan perkembangan motor halus atau kasar dan masalah-masalah tersebut menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini mengalami kelewatan masa menunggu untuk lawatan pertama ahli terapi yang kebanyakannya mengambil masa lebih daripada enam bulan.

“Kanak-kanak yang mengalami kelewatan pertuturan mendapat banyak manfaat daripada terapi pertuturan intensif kerana kekerapan dan intensiti terapi yang disediakan di rumah selalunya terhad ekoran kesibukan kedua-dua ibu bapa yang bekerja dan terapi pada lewat petang mungkin kurang ideal kerana anak-anak telah letih dan ‘cranky’,” ujarnya.

Tambah Shaharum, sebagai universiti kedua tertua di negara ini dan satu-satunya universiti APEX, USM berada pada kedudukan ideal untuk memainkan peranan dalam meningkatkan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang memerlukan bantuan melalui kerjasama intensif dengan AKE yang mengendalikan 190 cawangan perkhidmatan jagaan harian kanak-kanak bukan sahaja kanak-kanak biasa tetapi juga kanak-kanak berkeperluan khas.

“Sepuluh pakar terapi pertuturan yang aktif di Kampus Kesihatan USM) akan bekerjasama dengan guru-guru di AKE untuk memastikan setiap kanak-kanak yang mengalami kelewatan pertuturan diberi bimbingan optimum dan terapi bagi memperbaiki pertuturan mereka.

“Selain itu, pakar-pakar di USM juga akan membantu guru-guru AKE menyempurnakan kemahiran dalam menyediakan terapi awal yang berkesan untuk kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan lain.

“Doktor pemulihan, pakar terapi cara kerja dan pakar terapi pertuturan dari Hospital USM akan terlibat dalam kerjasama ini dan seluruh pasukan pakar dari Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan turut bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran bersama guru-guru AKE,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Bakhtiar Aliff, pula berkata, kanak-kanak yang berada di AKE akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini melalui sesi pendidikan yang akan diberikan kepada guru-guru oleh pakar USM dalam bidang pediatrik serta bidang khusus lain seperti diet dan pemakanan termasuk psikologi kanak-kanak.

“Forum awam yang disampaikan oleh pakar yang sama juga akan menjadi platform untuk memberi panduan yang tidak ternilai kepada ibu bapa dan ahli keluarga kanak-kanak yang terkesan.

“MoU ini antara lain akan membuka peluang dan menjadi jambatan antara profesional berkemahiran tinggi USM dan masyarakat, guru-guru serta ibu bapa yang akan bertanggungjawab untuk masa depan Malaysia kerana faedah kerjasama ini merangkumi peningkatan kemahiran guru menjaga kanak-kanak normal dan kanak-kanak berkeperluan khas. 

“Diharap stigma terhadap kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan atau kecacatan dapat dikurangkan,” katanya.

Hadir sama pada majlis adalah Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Ketua Jabatan Pediatrik, PPSP USM, Dr. Mohamad Ikram Ilias; Pengerusi Program MoU antara USM dan AKE Sdn. Bhd., Dr. Siti Nur Haidar Hazlan; para penyelidik serta pegawai-pegawai AKE Sdn. Bhd. dan Kampus Kesihatan USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 352

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024