BIMB SERAH SUMBANGAN ZAKAT RM30,000 BANTU PELAJAR ASNAF USM
USM PULAU PINANG, 2 Februari 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed petang ini menerima serahan replika cek bernilai RM30,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), berupa sumbangan zakat kepada pelajar asnaf USM dari keluarga B40.
Naib Canselor menerima sumbangan tersebut bagi pihak Universiti daripada delegasi Kumpulan BIMB yang mengadakan kunjungan hormat ke atasnya di Pejabat Naib Canselor.
Kunjungan hormat itu adalah satu usaha dalam mengeratkan hubungan sedia ada bersama USM dan juga merupakan sesi perkenalan dan suai kenal bersama Naib Canselor USM yang baharu dilantik itu.
Dalam sesi itu, pelbagai perkara dibincangkan antara kedua-dua pihak berkaitan beberapa usahasama yang dapat dimeterai selain meneroka peluang kerjasama yang lain dalam bidang berkaitan bersama pihak USM.
Perjumpaan tersebut turut disertai oleh Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Muhamad Sabri Said; Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah dan dua lagi pegawai dari Kumpulan BIMB.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 437