USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK USM KAJI FORMULA HASILKAN BUMBUNG BERKUALITI, KOS LEBIH RENDAH

Poster Dana MySIP

USM PULAU PINANG, 3 Februari 2023 – Bumbung merupakan satu daripada bahagian-bahagian yang terpenting bagi satu-satu bahagian bangunan kerana digunakan untuk melindungi penghuninya daripada hujan, panas dan cahaya matahari.

Kepingan bumbung logam telah lama digunakan sebagai bumbung, namun bahan ini cenderung untuk mengalami pengaratan semasa penggunaan dalam tempoh masa tertentu.

Menyedari keperluan untuk menghasilkan bahan bumbung yang lebih baik, penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar dan kumpulannya telah berjaya memperolehi geran di bawah program Malaysia-Spain Innovating Programme (MySIP) berjumlah RM186,300.

Projek ini merupakan kerjasama di antara penyelidik USM dengan industri di Malaysia serta rakan industri dari Sepanyol.

Pembiayaan bagi projek ini melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) (bagi penyelidik dari universiti di Malaysia), Malaysian Industry Government Group for High Technology (MIGHT) (bagi industri di Malaysia) dan Centre for the Development of Industrial Technology, e.p.e. (CDTI), Sepanyol (bagi industri di Sepanyol).

"Kajian selama 2 tahun ini akan menghasilkan formulasi bahan baharu dengan menggabungkan gentian semulajadi, plastik kitar semula dan bahan aditif bagi menghasilkan bumbung yang lebih mesra alam.

"Penghasilan bumbung mesra alam ini dijangka akan mengurangkan harga bumbung kerana kos bahan mentah iaitu plastik kitar semula dan gentian semulajadi yang rendah," kata Mariatti yang juga Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.

Di samping itu, projek ini dapat menyumbang kepada kelestarian dalam industri pembinaan dan kepada ekonomi kitaran (circular economy) selaras dengan Malaysia Plastic Sustainability Roadmap, 2021–2030 and Sustainable Development Goals (SDGs).

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 389

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024