RINTIS 2023: PLATFORM PELAJAR SENI SERLAH BAKAT DAN KREATIVITI
USM PULAU PINANG, 27 Januari 2023 – Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Majlis Perasmian RINTIS 2023 iaitu Pameran Projek Tahun Akhir Pelajar PPS USM yang mempamerkan pelbagai karya seni oleh artis-artis muda yang terdiri daripada pelajar dari kursus Grafik Komunikasi, Rekabentuk dan Teknologi Media Baru serta Rekabentuk Produk.
Dengan bertemakan ‘Blueprint’, seramai 112 orang pelajar tahun akhir dari kursus Seni Halus turut serta dalam pameran ini, yang mana pameran ini membawa penonton ke kehidupan pelajar-pelajar seni yang amat sinonim dengan perancangan awal sebelum sesuatu karya seni dihasilkan.
Melalui program ini, para mahasiswa mahasiswi dapat mempelajari ilmu dan secara tidak langsung membentuk satu transformasi gerak kerja yang berjaya di samping membolehkan mereka memperoleh banyak input yang berguna terutamanya dalam pencetusan idea dan pengalaman yang baru.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat mewakili Naib Canselor USM.
Pameran RINTIS akan berlangsung selama 4 hari bermula hari ini sehingga 30 Januari 2023 di Pelenggang Cahaya, Studio Produk dan Balai Pase’ban, yang mana setiap pameran diadakan mengikut kursus yang ditetapkan.
Hadir sama pada majlis adalah Dekan PPS, Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah; Penasihat RINTIS 2022/2023, Ts. Dr. Siti Suhaily Surip; Pengarah Projek RINTIS 2022/2023, Syed Muhammad Adam Syed Sapri; pengawai-pegawai utama universiti, pensyarah PPS USM serta para pelajar yang terlibat dengan pameran RINTIS.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohamad Zaidi Jaini
- Created on .
- Hits: 691