USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEKRETARIAT B.E.L.A.S. USM ANJUR PAMERAN TINGKATKAN KESEDARAN, SIFAT EMPATI DAN KASIH SAYANG TERHADAP KUCING JALANAN

USM PULAU PINANG, 14 Januari 2023 – Hari ini berlangsungnya Majlis Perasmian Pameran Kucing Jalanan 2023 Universiti Sains Malaysia (USM), OYEN: Cerita Tentang B.E.L.A.S. di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), kampus induk USM.

Pameran yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Sekretariat B.E.L.A.S. dengan kerjasama MGTF, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) dan Pusat Pengajian Seni.

Melalui pameran ini, pihak Sekretariat B.E.L.A.S. mempunyai hasrat untuk menyemai nilai B.E.L.A.S. iaitu nilai Kepercayaan (Believe), Empati (Empathy), Cinta (Love), Kasih Sayang (Affection) dan Keselamatan (Salvation) dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda terhadap alam terutama sekali terhadap kucing jalanan.

Usaha yang cuba diketengahkan ini selaras dengan nilai teras HEBAT iaitu Balanced yang menunjukkan sifat proaktif, bermoral rendah diri dan empati yang menjadi salah satu elemen dalam agenda utama USM dalam melahirkan graduan dan modal insan berkualiti.

Berkenan menyempurnakan majlis perasmian adalah D.Y.M.M Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga merupakan Penaung Diraja kepada kempen Stray Free Selangor (SFS).

“Inisiatif yang telah ditonjolkan oleh Sekretariat B.E.L.A.S. dan sekretariat pelaksana USM dalam membela nasib kucing jalanan dan diterjemahkan melalui pameran ini adalah satu usaha dan pencapaian yang murni dan membanggakan dalam melahirkan generasi yang holistik, penuh sifat simpati dan empati terhadap haiwan terutamanya kucing jalanan,” titah Tengku Permaisuri Selangor.

Tengku Permaisuri Selangor berharap agar pihak industri, agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari segi sumbangan dana secara langsung atau tidak langsung terhadap usaha USM itu.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata, fokus Sekretariat B.E.L.A.S. adalah untuk menjadikan kampus USM ‘zero stray cats’, yang mana kucing-kucing jalanan ini dibela dan diberi rumah baharu yang penuh dengan kasih sayang di dalam kampus.

“Kucing yang telah diselamatkan telah divaksin dan dimandulkan demi kebaikan mereka yang mana pihak sekretariat turut mendapat bantuan dari pihak NGO seperti SAMA dan Pembela Kucing Pulau Pinang,” kata Abdul Rahman.

Tambah Abdul Rahman lagi, setakat ini, sebanyak 160 ekor kucing telah diselamatkan dan 77 ekor telah mendapat kediaman baharu, 7 ekor di bawah jagaan pihak sekretariat, 4 telah menjadi kucing terapi USM, 45 ekor dimandulkan dan 14 ekor telah mati digigit anjing liar.

Turut diselitkan dalam majlis adalah penghargaan kepada ‘Unsung Heroes’ iaitu mereka dalam kalangan warga kampus yang secara sukarela bersama-sama membantu membela nasib haiwan yang malang itu.

Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman; Dekan PPSK, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan; Pengarah MGTF, Profesor Madya Hasnul Jamal Saidon dan Penasihat Utama Sekretariat B.E.L.A.S., Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin serta Yang di-Pertua B.E.L.A.S., Ng Wei Shan; dan Pengarah Projek OYEN, Nurul Ashikin Ahmad Tarmizi.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 397

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024